Tiga sekolah mubaligh di Sri Aman terima bantuan UNIFOR RM719,500

Facebook
WhatsApp
MAJLIS Penyerahan Cek Bantuan UNIFOR yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat Simanggang. Foto: Pusat Khidmat Masyarakat Simanggang

SIMANGGANG, 30 Oktober: Tiga sekolah mubaligh di sekitar Sri Aman menerima manfaat bantuan kerajaan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM719,500 bagi menyokong keperluan serta pembangunan institusi pendidikan berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, bantuan tersebut merupakan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan sekolah mubaligh turut mendapat perhatian dan sokongan bagi meningkatkan kemudahan serta persekitaran pembelajaran.

Beliau berkata, penerima bantuan berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke Sri Aman yang menerima peruntukan sebanyak RM89,500, manakala SK Saint Lawrence Sabu menerima RM230,000.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke menerima peruntukan terbesar berjumlah RM400,000, menjadikan keseluruhan bantuan yang disalurkan kepada ketiga-tiga sekolah berkenaan sebanyak RM719,500.

Dalam penerangan ringkasnya, Harden mengucapkan tahniah kepada semua pihak sekolah yang berjaya menerima bantuan tersebut dan berharap peruntukan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Beliau turut berharap agar setiap peruntukan digunakan mengikut tujuan serta permohonan asal yang dikemukakan oleh pihak sekolah supaya bantuan kerajaan itu benar-benar memberi impak positif terhadap kemudahan dan kebajikan warga sekolah.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Cek Bantuan UNIFOR yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat N.32 Simanggang, hari ini. 

Majlis berkenaan menjadi manifestasi komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan pendidikan tanpa mengira latar belakang institusi.

Oleh Adi Safarman