BERLIN, 30 Oktober: Cristiano Ronaldo memuji rakan sepasukan di Al Nassr selepas meledak hatrik sekali gus menghampiri sasaran peribadinya untuk menjaringkan 1,000 gol sepanjang karier, dengan hanya berbaki 15 gol lagi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penyerang Portugal berusia 41 tahun itu menjaringkan tiga gol dalam tempoh 15 minit pada separuh masa kedua ketika Al Nassr menewaskan Al Kholood 5-3 dalam aksi Liga Arab Saudi pada Khamis.
Hatrik itu merupakan yang ke-67 sepanjang kariernya. Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu kini mengumpul 985 gol, jumlah yang secara meluas dianggap sebagai rekod dunia bagi pemain lelaki.
“Kemenangan hebat, prestasi berpasukan yang cemerlang. Gembira dapat membantu pasukan dengan hatrik,” kata penyerang itu menerusi Instagram.
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada beliau mampu menambah jaringan bersama skuad kebangsaan Portugal.
Ronaldo meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan pada September, namun akan kembali beraksi dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA pada November selepas menjalani penggantungan selama 30 hari.
Ronaldo sebelum ini memberi bayangan bahawa musim ini mungkin menjadi musim terakhirnya sebagai pemain sekiranya beliau berjaya mencapai penanda aras 1,000 gol. – Bernama





