SARATOK, 30 Oktober: Pasukan Sevenline FT terus komited dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat pemain bola sepak wanita menerusi penyertaan aktif dalam pelbagai kejohanan tempatan, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda menyerlahkan potensi mereka.
Pengurus pasukan, Diana Entia Birain berkata setiap penyertaan dalam pertandingan bukan sahaja memberikan pendedahan berharga kepada para pemain, malah membantu membentuk keyakinan diri, disiplin serta semangat kerja berpasukan yang tinggi.
Menurut beliau, usaha berterusan membimbing pemain muda di peringkat akar umbi diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk mengembangkan bakat dan melibatkan diri secara aktif dalam sukan bola sepak.
“Pencapaian yang diraih setakat ini membuktikan bahawa pemain wanita mempunyai potensi besar untuk terus berkembang jika diberikan peluang dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau yang juga ketua jurulatih pasukan berkata, Sevenline FT telah mencatat lima pencapaian membanggakan termasuk muncul naib juara dalam kejohanan anjuran VSRC serta kejohanan anjuran Pemuda PDP sebelum ini.
Selain itu, pasukan berkenaan turut meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Sepak Yang Berhormat Mohamad Duri, Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Berhormat Roy Angau Gingkoi dan Kejohanan Bola Sepak anjuran VSRC Edisi 1 yang berlangsung baru-baru ini.
Jelasnya, kejayaan tersebut menjadi suntikan semangat kepada seluruh pasukan untuk terus memperbaiki prestasi dan memberikan komitmen terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.
Diana berharap Sevenline FT akan terus menjadi platform pembangunan bakat bola sepak wanita yang berkesan, di samping menggalakkan lebih ramai pemain muda tampil menyerlah dan mewarnai arena bola sepak wanita di Sarawak.
Oleh Adi Safarman





