Kemudahan Sukan SEA 2027 disasar siap Jun tahun depan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) pada sidang media Sarawak Esports Expo 2026 (SAREX26) di Bangunan Baitulmakmur II hari ini. Foto Adele Rissa

PETRA JAYA, 30 Oktober: Semua 11 kemudahan sukan utama yang dikenal pasti bagi penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 di Sarawak disasarkan siap sepenuhnya selewat-lewatnya Jun tahun depan bagi membolehkan ujian operasi dilaksanakan sebelum temasya itu berlangsung pada September.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerja naik taraf kebanyakan kemudahan yang dikenal pasti ketika ini berjalan dengan baik dan mendahului jadual ditetapkan.

Menurutnya, Stadium Sarawak merupakan antara kemudahan utama yang sedang menjalani kerja naik taraf dan dijangka siap menjelang Januari 2027.

“Stadium Sarawak yang merupakan kemudahan terbesar, jika tidak silap saya, sedikit mendahului jadual dan dijangka siap menjelang Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ekspo e-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua kemudahan yang sedang dinaik taraf perlu disiapkan selewat-lewatnya Jun 2027 bagi memberi ruang kepada pihak berkaitan menjalankan percubaan menggunakan kemudahan berkenaan sebelum temasya berlangsung.

“Antara Jun hingga September (2027), kita mahu menjalankan percubaan menggunakan semua kemudahan berkenaan.

“Kita tidak mahu kemudahan itu hanya disiapkan pada Ogos untuk digunakan pada September kerana dikhuatiri berlaku masalah seperti pendawaian dan perkara teknikal lain,” ujarnya.

Abdul Karim berkata, pihak kontraktor telah diberikan arahan jelas supaya mematuhi tempoh penyiapan yang ditetapkan bagi memastikan semua persiapan berjalan mengikut perancangan.

Jelasnya, sebarang kelewatan menyiapkan kemudahan berkenaan boleh menjejaskan imej Sarawak, kementerian serta Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan serantau itu.

“Saya sangat yakin. Apabila kita melantik kontraktor, kita telah duduk berbincang dengan mereka dan menjelaskan keperluan untuk menyiapkan kerja mengikut tempoh ditetapkan.

“Bahagian itu, anda tidak perlu bimbang. Sekiranya mereka gagal menyiapkannya mengikut tempoh ditetapkan, mereka perlu bekerja siang dan malam,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan kerja naik taraf kemudahan berkenaan turut dipantau secara berterusan dan beliau menerima laporan kemajuan setiap minggu.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung di Sarawak, bagi kluster utama, pada 18 sehingga 29 September tahun depan.

Oleh Adele Rissa