Ancelotti senarai lima muka baharu dalam skuad Brazil

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Manchester City, Allan Elias, antara lima pemain baharu yang dipanggil menyertai skuad Brazil bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Jepun dan Singapura pada November. Foto fail AFP

RIO DE JANEIRO, 30 Oktober: Penyerang Manchester City, Allan Elias, merupakan antara lima pemain yang belum pernah membuat penampilan antarabangsa dinamakan dalam skuad Brazil pada Khamis bagi aksi persahabatan menentang Jepun dan Singapura, lapor Xinhua.

Empat lagi muka baharu dalam senarai 26 pemain berkenaan ialah pertahanan Cruzeiro, Jonathan Jesus; pemain tengah Corinthians, Andre Luiz; serta gandingan Shakhtar Donetsk, Marlon Gomes dan Alisson Santana.

“Setiap pemain mempunyai kualiti tersendiri,” kata Pengurus Brazil Carlo Ancelotti, pada sidang media.

“Jonathan Jesus dilihat sebagai pemain pertahanan tengah yang sangat kuat, pantas, agresif dan bijak membaca permainan. Marlon Gomes pula memiliki dinamisme yang tinggi. Mereka adalah pemain dengan perwatakan berbeza, dan bagi kami, amat penting untuk mengenali setiap seorang daripada mereka dengan lebih dekat.”

Ancelotti tidak menyenaraikan mana-mana pemain daripada Flamengo atau Palmeiras yang kini sedang bersaing sengit merebut Kejuaraan Serie A Brazil.

Brazil dijadual menentang Jepun pada 14 Nov sebelum berdepan Singapura tiga hari kemudian, dengan kedua-dua perlawanan bakal berlangsung di Stadium Nasional Singapura.- Bernama-Xinhua