SPAOH, 30 Oktober: Penganjuran lebih banyak program berimpak tinggi perlu dipergiatkan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Spaoh sekali gus merancakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pendapatan kepada penduduk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata program yang dianjurkan secara berkala bukan sahaja mampu meningkatkan daya tarikan Spaoh sebagai destinasi kunjungan, malah memberi ruang kepada penduduk tempatan menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti perniagaan.
“Ketika ini kita memerlukan lebih banyak program berimpak tinggi untuk menarik kehadiran pengunjung ke Spaoh.
“Apabila lebih ramai orang datang, penduduk setempat juga akan menikmati manfaat ekonomi menerusi peluang perniagaan dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Pesta Tanglung 2026 yang dianjurkan oleh Lembaga Pengurus Sekolah dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Staf Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh, semalam.
Uggah yang juga Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban berkata, usaha menghidupkan kawasan pasar dan pusat tumpuan masyarakat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan aktiviti ekonomi terus rancak dan mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya, penganjuran acara berskala besar secara konsisten boleh mewujudkan suasana yang lebih meriah di Spaoh serta memberi peluang kepada peniaga tempatan memperluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan sesuatu program bergantung kepada kerjasama erat semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan penduduk setempat.
“Kerjasama dan komitmen semua pihak amat penting bagi memastikan setiap program yang dirancang bukan sahaja berjaya menarik pengunjung, tetapi turut memberi impak positif kepada komuniti,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan masyarakat berbilang kaum merupakan tunjang utama kepada pembangunan Sarawak dan kekal menjadi aset penting dalam memastikan kemajuan yang mampan di Spaoh.
“Dengan semangat kebersamaan dan perpaduan yang kukuh, kita dapat meneruskan agenda pembangunan serta meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; ketua-ketua jabatan; Ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK); serta kira-kira 400 tetamu lain.
Oleh Adi Safarman




