Kemudahan jeti, lampu solar manfaatkan penduduk Kuala Nyalau

Facebook
WhatsApp
DATUK Majang Renggi menandatangani plak Program Sahabat Maritim Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu sempena majlis penutupan program itu di Kampung Kuala Nyalau, Bintulu, hari ini.

BINTULU, 30 Oktober: Penduduk Kampung Kuala Nyalau menerima manfaat menerusi kerja membaik pulih pondok rehat di jeti utama serta pemasangan empat unit lampu solar menerusi Program Sahabat Maritim Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu 2026.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, inisiatif berkenaan walaupun berskala kecil, namun memberi impak secara langsung kepada penduduk setempat khususnya masyarakat nelayan dan mereka yang melakukan aktiviti memancing di laut.

Menurutnya, kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya diukur berdasarkan skala pelaksanaannya, sebaliknya keikhlasan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan prihatin terhadap keperluan masyarakat perlu menjadi keutamaan.

“Walaupun inisiatif ini nampaknya kecil-kecil atau sederhana sahaja, tetapi impaknya besar kerana ia dapat dirasai secara langsung oleh penduduk kampung setempat, khususnya dalam kalangan masyarakat nelayan dan juga mereka yang suka memancing ke laut,” katanya.

DATUK Majang Renggi berucap pada majlis penutupan Program Sahabat Maritim Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu 2026 di Kampung Kuala Nyalau, Bintulu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap berucap merasmikan majlis penutupan Program Sahabat Maritim Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu 2026 di Kampung Kuala Nyalau di sini, hari ini.

Majang berkata, kerjasama antara Maritim Malaysia dengan penduduk kampung dalam menjayakan inisiatif berkenaan perlu diteruskan bagi memastikan keperluan masyarakat setempat sentiasa diberi perhatian.

Beliau turut berharap lebih banyak inisiatif kemasyarakatan dapat dilaksanakan menerusi kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi membawa manfaat berterusan kepada penduduk.

Dalam pada itu, beliau menggesa lebih banyak syarikat swasta tampil menyumbang kepakaran, dana dan tenaga bagi menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Oleh Carolyne Utih