KUCHING, 30 Oktober: Good News Fellowship Church menerima peruntukan sebanyak RM182,731 bagi melaksanakan kerja pembaikan dan penambahbaikan kemudahan gereja berkenaan.
Peruntukan itu diserahkan oleh Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian. Beliau berkata, dana berkenaan diperoleh menerusi program Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),
Program itu menyediakan bantuan kewangan kepada rumah ibadat bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan masing-masing.
Beliau berkata antara masalah utama yang akan ditangani menerusi peruntukan itu ialah kebocoran air yang telah sekian lama dihadapi pihak gereja.
Selain itu, dana berkenaan turut digunakan untuk menggantikan tingkap serta menambah baik beberapa kemudahan lain di gereja tersebut.
Kong berkata walaupun kerja berkenaan mungkin dilihat sebagai penyelenggaraan biasa, kemudahan yang selamat dan terjaga amat penting bagi memastikan keselesaan jemaah serta masyarakat yang menggunakan premis berkenaan.
Beliau berkata pihaknya berbesar hati kerana dapat membantu gereja itu dalam proses permohonan sehingga berjaya memperoleh peruntukan bagi menangani masalah penyelenggaraan yang telah berlarutan sekian lama.
Beliau berharap kerja pembaikan itu dapat meringankan beban pihak gereja dan membolehkan jemaah meneruskan aktiviti keagamaan dalam persekitaran yang lebih selesa.
Oleh Connie Chieng




