DARO, 30 Oktober: Pembukaan Jambatan Batang Paloh menjadi satu lagi bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam mentransformasikan infrastruktur negeri, khususnya menghubungkan kawasan luar bandar dan pedalaman bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan itu merupakan jambatan ke-13 daripada keseluruhan 22 jambatan utama yang sedang dibina oleh kerajaan Sarawak menerusi pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di seluruh negeri.
Menurutnya, daripada 22 jambatan berkenaan, sebanyak 13 sudah siap dibina, manakala sebuah lagi iaitu Jambatan Batang Lupar II di Sri Aman dijadual dibuka kepada pengguna esok.


Beliau berkata, pembukaan Jambatan Batang Paloh membawa makna besar kepada penduduk Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya kerana kawasan yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri kini mempunyai kemudahan perhubungan darat yang lebih baik.
“Ini merupakan hari bersejarah bagi penduduk Kampung Bruit dan seluruh Pulau Bruit kerana mungkin sebelum ini mereka tidak pernah membayangkan kawasan ini akan dihubungkan dengan dua jambatan.
“Saya pernah datang ke sini pada 2000 dan ketika itu perjalanan ke kawasan ini amat sukar, tetapi kini keadaan sudah banyak berubah,” katanya ketika ditemui pada majlis praperasmian Jambatan Batang Paloh, hari ini.
Uggah berkata, projek jambatan berkenaan yang menelan kos RM299 juta merupakan sebahagian daripada pelaburan kerajaan Sarawak dalam membangunkan rangkaian infrastruktur strategik di seluruh negeri.
Katanya, keseluruhan 22 projek jambatan utama itu melibatkan peruntukan kira-kira RM7 bilion, sekali gus mencerminkan kemampuan kerajaan negeri membiayai projek pembangunan berskala besar menggunakan dana sendiri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan usaha berterusan dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, transformasi infrastruktur turut merangkumi pembinaan Jalan Pesisir sepanjang kira-kira 890 kilometer, penaiktarafan jalan utama serta pembinaan Second Trunk Road yang bakal meningkatkan jaringan perhubungan antara kawasan di Sarawak.
Katanya, pembangunan itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan serta perkhidmatan penting.
Dalam pada itu, Uggah berkata, operasi perkhidmatan feri Batang Paloh yang berakhir seiring pembukaan jambatan berkenaan hari ini akan menjadi sebahagian daripada sejarah pembangunan kawasan tersebut.
“Perkhidmatan feri berkenaan akan dipindahkan ke kawasan Kedang, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan kerja-kerja berkaitan bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat beroperasi di lokasi baharu,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta yang lain.
Oleh Akun Giman/Tarani Lanting




