DARO, 30 Oktober: Pembukaan Jambatan Batang Paloh dijangka memberi suntikan kepada kemeriahan Pesta Pulau Bruit 2026 yang bakal berlangsung dari 6 hingga 8 November ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, kemudahan jambatan itu bakal memudahkan pergerakan pengunjung dari kawasan lain sekali gus membuka peluang lebih luas untuk mempromosikan keunikan serta produk tempatan Pulau Bruit.
“Kita adakan Pesta Pulau Bruit sebagai salah satu acara untuk kita meraikan dan menzahirkan rasa syukur atas siapnya jambatan ini.
“Untuk pengetahuan, sebelum adanya jambatan ini, Pesta Pulau Bruit menarik kehadiran sekurang-kurangnya 5,000 pengunjung.
“Dengan adanya jambatan ini, kita menjangkakan jumlah pengunjung akan meningkat berbanding ketika perkhidmatan feri masih digunakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis PraPerasmian Jambatan Batang Paloh oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.

Menurut Abdullah, walaupun pesta itu bukan acara berskala besar seperti penganjuran di peringkat daerah, pelbagai aktiviti disediakan bagi menarik kehadiran pengunjung, termasuk penganjuran Konsert Rakyat.
“Pesta Pulau Bruit membawa konsep tersendiri menerusi identiti ‘Temasya Laut Tani’ yang mencerminkan kehidupan, sumber ekonomi serta keunikan masyarakat setempat,” ujarnya.
Sementara itu, Abdullah berkata, pembukaan Jambatan Batang Paloh menamatkan penantian panjang penduduk Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya untuk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik.
Beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas pelaksanaan projek berkenaan yang membolehkan jambatan itu mula digunakan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan infrastruktur di kawasan itu perlu diteruskan, khususnya menaik taraf dan melebarkan jalan raya yang menghubungkan Jambatan Batang Paloh dengan Jambatan Batang Lassa.
Beliau berkata, beberapa laluan lain juga memerlukan kerja naik taraf berikutan masalah mendapan tanah dan keadaan jalan yang kurang selesa.
Dalam pada itu, perkhidmatan feri sedia ada akan terus dimanfaatkan bagi menghubungkan penempatan di seberang Paloh, Kedang dan Berangan sementara menunggu pelaksanaan projek jalan raya yang menghubungkan kawasan berkenaan terus ke Tanjung Manis.
Oleh Tarani Lanting/Akun Giman





