KUCHING, 29 Oktober: Dokumentari sukan ‘Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin’, terpilih sebagai salah satu daripada lima calon terbaik bagi kategori Dokumentari Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Pengiktirafan itu menjadi pencapaian bermakna buat Kayu Malam Productions dalam mengetengahkan kisah perjuangan atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin, yang mengharumkan nama Malaysia menerusi sukan angkat berat.
Pengarahnya, Mark Nyambang, berkata dokumentari berkenaan menjalani penggambaran selama tiga bulan di Kuala Lumpur dan Kuching bagi merakam perjalanan hidup serta pengorbanan Bonnie dalam mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, dokumentari itu bukan sekadar mengisahkan pencapaian Bonnie dalam sukan, malah mengetengahkan hubungan erat antara beliau dengan bapanya, Gustin Jenang, yang turut merintis perjalanan sebagai atlet para.
Beliau berkata, antara aspek yang diketengahkan ialah tekad Bonnie untuk menunaikan janjinya kepada bapanya, selain disiplin dan pengorbanan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan.
Dokumentari itu turut mendedahkan cabaran yang dihadapi Bonnie, termasuk kecederaan sejak Sukan Paralimpik Tokyo hingga Paris, namun beliau tetap meneruskan perjuangan untuk mengharumkan nama negara.

Mark berkata, beliau berharap dokumentari itu dapat memberi gambaran lebih dekat kepada masyarakat mengenai pengorbanan atlet kebangsaan yang berusaha melangkaui batas kemampuan demi negara.
Menurutnya, pencalonan dalam kelompok lima terbaik FFM35 merupakan satu penghormatan besar kepada seluruh pasukan produksi, selain menjadi kebanggaan buat Sarawak dan semua pihak yang menyokong perjalanan Bonnie.
Dokumentari itu diterbitkan oleh Mark Nyambang dan Zafirah Abdul Rahman, manakala pengarahan dikendalikan oleh Mark Nyambang dan Lourdes Gason.
Oleh Norman B





