IPOH, 29 Oktober: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan peniaga supaya memastikan harga yang dipaparkan pada setiap barangan adalah tepat dan selaras dengan harga direkodkan dalam sistem pembayaran.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pematuhan tersebut amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi dalam sebarang transaksi jual beli.
“Sekiranya terdapat perbezaan antara harga dipaparkan dengan harga yang dikenakan semasa pembayaran, harga lebih rendah hendaklah terpakai selaras Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj bagi Perkhidmatan) 2020,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu tular di media sosial kejadian dipercayai berlaku di negeri ini apabila Bahagian Penguat Kuasa KPDN Perak menjalankan pemeriksaan susulan aduan perbezaan harga sebotol sos cili pada resit pembelian Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Mengulas lanjut mengenai isu itu, Fuziah berkata sistem kendalian Kementerian Kewangan itu sekadar merekodkan harga dimasukkan oleh peniaga dan perbezaan yang berlaku berkemungkinan akibat kekhilafan peniaga semasa memasukkan data berkenaan.
“KPDN turut menekankan bahawa penyertaan dalam inisiatif SARA bukan sekadar menyediakan barangan keperluan, sebaliknya menuntut komitmen peniaga untuk mengamalkan urusan jual beli secara telus, tepat dan adil kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata selain itu, bagi mengelakkan sebarang kerugian, orang ramai digalakkan menyemak harga sebelum membuat pembayaran serta menyimpan resit sebagai bukti sekiranya mahu mengemukakan aduan rasmi kepada KPDN untuk tindakan susulan.
Katanya, KPDN kekal komited memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi, selain memastikan setiap pelaksanaan inisiatif bantuan kerajaan termasuk program SARA dapat memberikan manfaat secara optimum kepada rakyat. – Bernama





