KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keperluan langkah kawal selia tambahan terhadap permainan dalam talian termasuk platform Roblox bagi memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak daripada risiko keselamatan digital.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata MCMC bersama Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang menjalankan kajian terhadap perkembangan dan risiko permainan dalam talian, termasuk aspek interaksi antara pengguna, kandungan permainan serta langkah perlindungan dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan.
Beliau berkata kajian itu turut mengambil kira pendekatan dan amalan antarabangsa bagi mengenal pasti langkah perlindungan yang bersesuaian dan berkesan untuk dilaksanakan di Malaysia.
“Pada masa sama, CMCF sedang melaksanakan rundingan awam bagi membangunkan Sub-Kod Permainan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik.
“Hasil kajian dan rundingan ini akan menjadi asas pertimbangan terhadap keperluan langkah kawal selia selanjutnya yang berasaskan bukti dan tahap risiko, demi memastikan keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak, Fahmi berkata kerajaan turut memberikan penekanan kepada pendidikan dan kesedaran ibu bapa mengenai pengaktifan fungsi kawalan ibu bapa pada peranti serta perkhidmatan dalam talian.
Beliau berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Kempen Internet Selamat, termasuk Konvensyen Ibu Bapa dan Guru serta Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di seluruh negara.
Katanya kempen yang diperuntukkan RM58.7 juta menerusi Belanjawan 2027 itu bukan sahaja menyasarkan pelajar dan kanak-kanak, malah turut merangkumi program pendidikan serta advokasi kepada ibu bapa, penjaga, guru dan komuniti.
Beliau berkata pendekatan itu bagi memastikan tanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian dilaksanakan secara bersama oleh keluarga, institusi pendidikan, komuniti, agensi kerajaan dan pemberi perkhidmatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata sebanyak 14,706 kandungan lucah dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak diturunkan, manakala 5,170 laman sesawang berunsur lucah disekat bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 September 2026.
Mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dan deepfake, khususnya penyebaran imej bogel palsu melibatkan pelajar perempuan di Seremban, beliau berkata kes itu masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala MCMC bekerjasama rapat dengan polis dan penyedia platform Meta bagi membantu siasatan.
Beliau berkata berdasarkan rekod MCMC, sebanyak 5,341 aduan berkaitan buli dan gangguan dalam talian diterima bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober 2026.
Sementara itu, Fahmi berkata sebanyak 828,438 kandungan berkaitan perjudian dalam talian berjaya diturunkan, manakala 7,411 laman sesawang perjudian disekat oleh pemberi perkhidmatan berikutan permohonan MCMC bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan terhadap perjudian dalam talian turut diperkukuh menerusi operasi bersepadu bersama PDRM, termasuk Op JOL dan Op Soga XI pada tahun ini, antara lain tertumpu kepada kegiatan perjudian dan pertaruhan dalam talian berkaitan perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.
“MCMC turut memperkukuh kerjasama operasi bersama PDRM dan pemberi perkhidmatan menerusi Op Pancing dan Op Delusi bagi mengekang penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) secara berskala menggunakan peralatan Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) yang mengandungi pelbagai kandungan serta pautan untuk memancing pengguna,” katanya.- Bernama





