PRN Melaka: 28 pusat penamaan calon dibuka sabtu ini – SPR

Facebook
WhatsApp

MELAKA, 29 Oktober: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuka 28 pusat penamaan calon pada 31 Oktober ini dan kertas penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hendaklah diserahkan di pusat berkenaan dari 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas penamaan calon perlulah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong; mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Beliau turut menyarankan bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat PRN Melaka sebelum hari penamaan calon serta membuat pembayaran deposit lebih awal. 

“Resit pembayaran deposit tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran,” katanya.

Khairul Shahril berkata bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

Beliau turut mengingatkan calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya bahawa mereka tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini termasuklah larangan penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui kenderaan dan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada hari penamaan calon yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta 5,” katanya.

Khairul Shahril turut menyeru semua bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan SPR, PBT serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan berjalan dengan baik dan lancar.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 23 September dan SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal 10 November.- Bernama