KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Kerajaan Persekutuan mengekalkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) manakala Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum menjadi pilihan selagi kos sara hidup membebankan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kerajaan juga akan terus menambah baik SST bagi mengurangkan kesan cukai bertindih, mengurangkan kos perniagaan selain memudahkan aspek pematuhan.
Jelas beliau, ini penting memandangkan GST cenderung bersifat regresif berikutan golongan berpendapatan rendah akan membelanjakan bahagian lebih besar daripada pendapatan mereka untuk membeli barangan dan perkhidmatan.
“Dengan kata lain, walaupun kadar cukai sama, beban relatif kepada pendapatan adalah lebih berat bagi rakyat terutama golongan B40 dan M40. Maka, hasil tambahan mesti dinilai bersama beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Peringkat Dasar Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Kementerian Kewangan (MOF) di Parlimen hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata berbanding GST, cukai SST sebaliknya memberikan ruang untuk pendekatan yang lebih progresif dan bersasar.
Ini termasuk membolehkan kerajaan memilih barang dan perkhidmatan untuk dicukai dan pada masa sama mengecualikannya bagi barangan asas.
“Walaupun sebahagian cukai boleh dipindahkan melalui harga, skop pengenaannya dapat ditetapkan dengan mengambil kira kemampuan rakyat,” katanya.
Menurut Tinjauan Fiskal 2027, kutipan SST meningkat kepada anggaran RM67 bilion pada 2026 daripada RM55.9 bilion pada 2025 dan diunjur mencecah RM73.3 bilion pada 2027 yang merupakan peningkatan sebanyak RM17.4 bilion dalam masa dua tahun.
Amir Hamzah berkata kutipan SST pada masa ini mencecah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyamai tahap GST pada 2017.
“Ini bermakna, saranan untuk menggantikan SST dengan GST tidak semestinya menjana hasil tambahan dan hanya mengalihkan tanggungan cukai daripada sektor perniagaan termasuk pengeksport kepada rakyat sepenuhnya.
“Peningkatan ini menunjukkan keupayaan SST menjana hasil untuk membiayai keperluan negara. Pada masa yang sama, kerajaan mempunyai ruang menetapkan barang dan perkhidmatan yang dicukai secara bersasar serta mengecualikan barangan asas,” katanya.
Amir Hamzah berkata dari segi pematuhan, hampir 700,000 perniagaan berdaftar di bawah GST pada 2018 berbanding hanya sekitar 130,000 di bawah SST pada 2026 yang bermakna lebih banyak perniagaan perlu menanggung kos pematuhan di bawah sistem GST.
Beliau berkata walaupun kerajaan mengiktiraf kelebihan GST dari segi kecekapan kutipan, ketelusan dan mekanisme kredit cukai input, namun pilihan sistem percukaian mesti mengambil kira kemampuan rakyat. – Bernama




