Kereta Mercedes lama tersadai terbakar di Lebuh Raya Pan Borneo Betong

Facebook
WhatsApp
SEBUAH kereta sedan jenis Mercedes yang dipercayai telah lama tersadai di bahu jalan musnah dalam kejadian kebakaran di Lebuh Raya Pan Borneo Betong. Foto: PGO Bomba Sarawak

BETONG, 29 Oktober: Sebuah kereta sedan jenis Mercedes yang dipercayai telah lama tersadai di bahu jalan musnah dalam kejadian kebakaran di Lebuh Raya Pan Borneo Betong, petang ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.47 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abang Jamadilhir Abang Mostafa tiba di lokasi pada 2.05 petang, kira-kira 13 kilometer dari balai. 

Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta sedan Mercedes yang ditinggalkan di bahu jalan dan tidak melibatkan sebarang mangsa.

Pegawai Komander Operasi (PKO) bersama enam anggota yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel).

Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 2.15 petang sebelum api dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian. 

Operasi tamat sepenuhnya pada 2.18 petang selepas pemeriksaan lanjut mendapati kawasan sekitar berada dalam keadaan selamat serta tiada risiko bahaya susulan.

Turut berada di lokasi ialah Pegawai Kanan Bomba, Penguasa Bomba Muhammad Badrul Amin Mohammad Fodzi, manakala dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu memastikan keadaan terkawal.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Punca kebakaran masih belum diketahui.

Oleh Adi Safarman