MPKS ambil tindakan, kompaun pelaku buang sampah haram di Taman Bukit Berangan

Facebook
WhatsApp
MPKS mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pembuangan sampah secara haram di atas tanah persendirian berhampiran Taman Bukit Berangan. Foto: MPKS

KOTA SAMARAHAN, 29 Oktober: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pembuangan sampah secara haram di atas tanah persendirian berhampiran Taman Bukit Berangan susulan aduan orang ramai dan isu berkenaan yang tular di media sosial.

Menurut kenyataan MPKS, hasil pemantauan di kawasan berkenaan membolehkan kenderaan yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan pembuangan sampah secara haram dikesan, manakala kompaun turut dikeluarkan kepada individu terbabit mengikut peruntukan dan peraturan yang berkuat kuasa.

Selain itu, pemilik tanah berkenaan telah mengambil tindakan membersihkan kawasan tersebut, sementara laluan tidak rasmi yang digunakan untuk memasuki kawasan itu turut ditutup bagi menghalang kegiatan berkenaan daripada berulang.

MPKS dalam kenyataan sama menjelaskan bahawa perkhidmatan kutipan sampah oleh pihak majlis hanya meliputi sampah domestik mengikut skop perkhidmatan yang ditetapkan.

Sampah pukal seperti sisa bahan binaan, sofa, katil, perabot dan sisa industri tidak termasuk dalam perkhidmatan kutipan sampah domestik biasa yang disediakan oleh pihak majlis.

Sehubungan itu, orang ramai dan pihak yang menghasilkan sampah pukal diminta merujuk kepada MPKS terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat mengenai kaedah pelupusan yang betul.

Kos pengurusan, pengangkutan dan pelupusan sampah pukal berkenaan adalah di bawah tanggungjawab pihak yang menghasilkannya dan tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya di kawasan awam atau tanah persendirian tanpa kebenaran.

Menurut MPKS, kegiatan pembuangan sampah pukal secara haram turut menyebabkan pihak majlis terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan bagi kerja pembersihan dan pelupusan di luar operasi kutipan sampah biasa.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja meningkatkan kos pengurusan kebersihan, malah mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan kebersihan dan keselesaan penduduk setempat.

Justeru, MPKS menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa dengan memastikan sampah domestik dibuang menggunakan kemudahan kutipan yang disediakan, manakala sampah pukal diuruskan melalui saluran pelupusan yang betul.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat demi memelihara kebersihan, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.

MPKS turut menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan sekiranya mengesan sebarang aktiviti pembuangan sampah secara haram di kawasan pentadbiran majlis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang terlibat.

MPKS merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan serta kerjasama dalam menyalurkan aduan.

Komitmen bersama antara pihak berkuasa dan masyarakat amat penting bagi memastikan Kota Samarahan kekal bersih, teratur dan selesa untuk didiami.

Oleh Adi Safarman