KUCHING, 28 Oktober: Bermula daripada minat terhadap muzik, Bandat Store kini menjadi antara platform yang menyokong perkembangan ekosistem muzik bebas di Sarawak, khususnya dalam penghasilan dan pengedaran karya fizikal kugiran tempatan.
Ditubuhkan pada 1 Disember 2020 ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bandat Store tercetus daripada pengalaman pengasasnya yang sering memesan barangan muzik dari luar Sarawak.
Selepas berpindah dari lokasi asal di Pending ke Carpenter Street pada 2021, kedai ini terus berkembang sebagai ruang untuk mengumpul, memasarkan dan memperkenalkan karya pemuzik tempatan kepada khalayak yang lebih luas.

Menghubungkan komuniti muzik serantau
Bandat Store menawarkan pelbagai koleksi piring hitam (vinyl), kaset dan CD dari Kuching, Sibu, Bintulu, Miri serta Kalimantan, Indonesia.
Usaha pengedaran turut diperluas ke rangkaian kedai rekod di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah. Langkah ini sekali gus membuka peluang lebih luas kepada kugiran tempatan untuk memperkenalkan karya mereka.

Menghidupkan pengalaman muzik analog
Selain menjual rekod, Bandat Store turut menyediakan ruang pendengaran (listening booth) untuk membolehkan pengunjung menikmati pengalaman mendengar muzik dalam format analog, seperti piring hitam, kaset dan CD, sebelum membuat pembelian.
Lebih daripada sebuah kedai rekod
Bandat Store juga aktif menganjurkan persembahan muzik berskala kecil di ruang belakang premisnya, termasuk acara pelancaran album kugiran tempatan.

Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan ruang kepada pemuzik bebas untuk memperkenalkan karya mereka, malah turut membantu mengukuhkan hubungan dalam komuniti muzik tempatan.
Ikuti Bandat Store menerusi Instagram di @bandat.recordstore dan TikTok di @bandat.record.store untuk mendapatkan perkembangan terkini.





