KUCHING, 28 Oktober: ASP Stephen Buda Kiding mengambil alih tugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan daripada ASP Steel Entai, hari ini.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di IPD Padawan itu disaksikan Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William.
Barry berkata, majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kesinambungan kepimpinan, kelancaran pentadbiran serta keberkesanan operasi siasatan jenayah di peringkat daerah.
Menurutnya, pertukaran kepimpinan itu juga penting bagi memastikan penyelarasan tugas dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Steel atas khidmat bakti, komitmen dan sumbangannya sepanjang menerajui Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Padawan.
Pada masa sama, Barry mengucapkan tahniah kepada Stephen atas pelantikan baharunya dan berharap beliau dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi serta profesionalisme.
Beliau berkata, IPD Padawan akan terus komited memperkukuh tadbir urus, disiplin, integriti dan profesionalisme dalam kalangan warga pasukan.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepolisan terus dipertingkat demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Connie Chieng




