Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas sekolah di Serian

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba dan petugas KKM berada di lokasi kejadian di SJKC Chung Hua. Foto JBPM.

SERIAN, 28 Oktober: Seorang lelaki berusia 46 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di dalam tandas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Batu 32, Jalan Baki Lama, di sini, hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.30 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian tiba di lokasi pada 4.43 petang.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak, pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu tandas bagi membolehkan mereka memasuki ruang berkenaan.

Mangsa kemudian ditemukan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rosnani Malong itu melibatkan lapan anggota BBP Serian dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Operasi tamat sepenuhnya pada 5.25 petang.

Oleh Shikin Mahmud