KUALA LUMPUR, 28 Oktober: Kerajaan akan terus melaksanakan usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing secara berperingkat, selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan sebenar industri, selain memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terus menjadi keutamaan.
“Saya juga telah meneliti maklum balas daripada semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam ekosistem penggajian pekerja asing.
“Dalam hal ini, kita semua bersetuju bahawa pendekatan membuat keputusan secara bersama diperlukan bagi menangani sebarang isu dan cabaran dalam mengurus mekanisme kuota serta had siling penggajian pekerja asing supaya peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan kekal menjadi keutamaan kita,” katanya dalam hantaran itu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing Kali Ke-3 di Parlimen hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan setiap dasar yang dilaksanakan dapat memperkukuh peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, di samping memenuhi keperluan industri, sekali gus memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. – Bernama





