PETRA JAYA, 28 Oktober: Terdapat menteri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan mengundurkan diri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, namun identiti individu berkenaan belum didedahkan.
Premier Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan demikian ketika ditanya pemberita sama ada terdapat menteri yang sudah menyatakan hasrat untuk berundur.
“Memang ada, rasanya daripada PBB. PBB ada yang undur diri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Abang Johari enggan mendedahkan nama individu terbabit mahupun jumlah menteri yang membuat keputusan berkenaan.
Ketika ditanya mengenai jumlah mereka, beliau meminta semua pihak menunggu kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum mengumumkan tarikh pilihan raya.
Mengenai senarai calon GPS pula, beliau berkata ia akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.
Beliau berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen GPS akan dibincangkan dengan lebih terperinci sebelum senarai calon dimuktamadkan.
Ketika ini, barisan menteri Sarawak daripada PBB terdiri daripada Abang Johari, dua timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, selain Dato Seri Fatimah Abdullah, Dato Seri Dr Stephen Rundi Utom, Dato Seri Julaihi Narawi, Dato Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Dato Seri Roland Sagah Wee Inn.
Abang Johari, 76, mula dipilih sebagai ADUN Satok pada 1981. Douglas Uggah, 71, pula mula menjadi ADUN Bukit Saban pada 2016, selepas pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Betong.
Awang Tengah, 71, mula dipilih sebagai ADUN Lawas pada 1987, manakala Fatimah, 69, menjadi ADUN Dalat sejak 2001. Abdul Karim, 66, pula mula dipilih sebagai ADUN Asajaya pada tahun yang sama.
Sementara itu, Stephen Rundi, 66, mula menjadi ADUN Kemena pada 2001, manakala Roland Sagah, 71, dipilih sebagai ADUN Tarat sejak 1996. Julaihi Narawi, 71, pula merupakan ADUN Sebuyau pada 1991.
Bagaimanapun, senarai berkenaan hanya merujuk kepada menteri daripada PBB yang sedang berkhidmat dan bukan pengesahan bahawa mana-mana individu terbabit akan mengundurkan diri sebagai calon pada PRN akan datang.
Oleh Afiq Sallehi





