KUCHING, 28 Oktober: Diperam sekurang-kurangnya enam bulan, malah ada yang disimpan sehingga lima tahun, Tuak Re’shon Sumbuk terus mengekalkan resipi tradisional yang diwarisi secara turun-temurun.
Bagi pengusahanya, Alice Boon, 60, resipi warisan neneknya itu menjadi keistimewaan tuak yang dihasilkan menggunakan bahan asli tanpa campuran perisa moden.
Wanita Bidayuh itu berkata, tempoh pemeraman turut mempengaruhi cita rasa tuak yang dihasilkan, dengan sesetengahnya disimpan sehingga bertahun-tahun.
“Ada yang saya simpan sampai lima tahun sebab semakin lama disimpan, semakin sedap rasanya,” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak baru-baru ini.
Sejarah Tuak Re’shon Sumbuk
Alice berkata, resipi Tuak Re’shon Sumbuk diwarisi daripada neneknya dan masih digunakan oleh keluarganya sehingga kini.
“Nama Re’shon Sumbuk mempunyai makna tersendiri dalam bahasa Bidayuh. Re’shon bermaksud kebun buah-buahan, manakala Sumbuk merujuk kepada nenek.
“Pada asalnya, tuak ini dihasilkan oleh nenek saya di kebun buah-buahan sebelum resipinya diwarisi secara turun-temurun dalam keluarga.
“Sebagai tanda penghargaan kepada nenek yang mewariskan resipi tersebut, saya meletakkan gambar beliau pada label botol Tuak Re’shon Sumbuk,” jelasnya.
Produk Tuak Re’shon Sumbuk
Alice berkata, tuak berkenaan ditawarkan dalam tiga pilihan, iaitu halia, nanas dan asli, dengan perisa halia paling mendapat sambutan pelanggan.
“Keistimewaan tuak kami ialah penggunaan bahan asli tanpa campuran atau gabungan perisa moden. Semuanya mengekalkan cara tradisional,” jelasnya.


PRODUK Tuak Re’shon Sumbuk.
Permulaan perniagaan
Walaupun sudah lama menghasilkan tuak untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan, Alice hanya mula menjualnya pada tahun lalu selepas mendapat galakan daripada mereka yang menggemari hasil buatannya.
“Pada mulanya, kami buat untuk keluarga minum sahaja. Kemudian, kawan-kawan cakap tuak saya sedap dan suruh saya cuba menjualnya. Jadi, saya pun cubalah,” ceritanya.
Beliau kemudian mula menyertai beberapa ekspo di Miri, termasuk di Hotel Pullman, Hotel Meritz dan Mega Hotel, bagi memperkenalkan Tuak Re’shon Sumbuk kepada orang ramai.
Sambutan pelanggan dan tempahan
Dijual pada harga RM68 sebotol, Tuak Re’shon Sumbuk mendapat sambutan daripada pelanggan tempatan, pengunjung dari Semenanjung Malaysia serta pelancong.
“Pelanggan yang membeli ketika jualan di rumah panjang kebanyakannya terdiri daripada pelancong, manakala penyertaan dalam ekspo menarik pembeli tempatan dan dari luar Sarawak.
“Antara pengalaman yang paling saya ingati ialah ketika sambutan Gawai di Rumah Panjang Annah Rais apabila kira-kira 60 botol tuak berjaya dijual dalam tempoh sejam.
“Tahun lalu, saya juga menerima tempahan sebanyak 100 botol untuk dua majlis perkahwinan di Imperial, selain tempahan daripada pelanggan di Sabah,” tambahnya.
Harapan dan pesanan
Alice, yang mengusahakan perniagaan itu bersama anak-anaknya, berharap Tuak Re’shon Sumbuk terus berkembang dan mendapat sambutan yang lebih meluas.
Berdasarkan pengalamannya memulakan perniagaan selepas menerima galakan daripada rakan-rakan, beliau turut berpesan kepada golongan muda supaya tidak takut mencuba sesuatu yang baharu.
“Jangan takut, kita mesti beranikan diri sebab kalau tidak cuba, kita tidak akan tahu.
“Cuba dulu. Kalau nampak ada sambutan, teruskan. Apabila kita sudah mencuba, barulah kita dapat merasai kepuasan itu,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah





