GPS sedia tanding semua 82 kerusi PRN Sarawak ke-13

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 28 Oktober: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengesahkan akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, gabungan empat parti komponen itu kini bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan.

“GPS kini bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan, meskipun tarikh sebenar PRN masih belum ditetapkan dan tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“GPS sudah bersedia dan persiapan kita yang ada kaitan dengan pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini, hari ini.

GPS adalah gabungan empat parti komponen, iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen GPS, Abang Johari berkata perkara itu akan dibincangkan dengan lebih terperinci berdasarkan susunan sedia ada.

Ditanya mengenai tarikh pemuktamadan senarai calon GPS, Abang Johari berkata perkara itu akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Oleh Afiq Sallehi