PUNB salur RM121.2 juta kepada usahawan Sarawak setakat September

Facebook
WhatsApp
AWANG Tengah ketika berucap merasmikan Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 di Hotel Sheraton, hari ini.

KUCHING, 28 Oktober: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah menyalurkan RM121.2 juta kepada usahawan di Sarawak setakat September 2026.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Sarawak menyambut baik peningkatan dana pembiayaan PUNB daripada RM350 juta kepada RM500 juta di bawah Belanjawan Persekutuan 2027.

Katanya, peningkatan dana berkenaan dijangka memperluas akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera, termasuk di Sarawak, bagi membantu mereka meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan.

“Peningkatan ini diharap dapat memperluas akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera termasuk kita di Sarawak untuk kita meningkatkan kapasiti kita, peluang untuk kita meningkatkan perniagaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 anjuran PUNB di Hotel Sheraton di sini, hari ini.

Di bawah Belanjawan Persekutuan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, kerajaan meningkatkan dana pembiayaan PUNB kepada RM500 juta berbanding RM350 juta sebelum ini bagi menyokong usahawan Bumiputera.

Kerajaan turut meningkatkan nilai perolehan yang dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion pada 2027 berbanding RM4 bilion tahun ini.

Menurut Awang Tengah, Sarawak mempunyai kira-kira 71,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan hampir 80 peratus daripadanya merupakan perusahaan mikro.

Katanya, sektor PMKS menyumbang sekitar 18 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak.

“Untuk mencapai sasaran ini, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu terus diperkukuh supaya lebih ramai usahawan tempatan dapat mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.

AWANG Tengah menerima cenderamata daripada Pengerusi PUNB, Tan Sri Rastam Mohd Isa pada Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 di Hotel Sheraton, hari ini.

Beliau berkata, Sarawak menyasarkan saiz ekonomi sebanyak RM282 bilion menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, kerjasama strategik antara PUNB dengan Sarawak Energy Berhad melalui Program Pembangunan Vendor sejak 2019 telah menyokong 212 vendor.

“Sehingga September 2026, sebanyak 197 vendor telah berjaya menamatkan program tersebut, termasuk 154 vendor Bumiputera,” katanya.

Beliau berharap PUNB dapat terus memperkukuh kerjasama dengan Sarawak Energy Berhad serta memperluas kerjasama strategik itu kepada Petronas dan Petra Energy bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengusaha tempatan.

Selain itu, beliau berharap PUNB dapat melihat kemungkinan membantu kontraktor Bumiputera yang memperoleh kontrak kerajaan, termasuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), yang berdepan masalah modal.

Awang Tengah berkata, peluang turut terbuka kepada perusahaan tempatan dalam sektor tenaga boleh baharu, ekonomi digital, industri makanan, pertanian, pelancongan, perkayuan dan industri berteknologi tinggi.

Beliau berkata, pelaburan yang diluluskan di Sarawak bagi tempoh 2021 hingga 2024 melebihi RM116 bilion, manakala pelaburan bagi separuh pertama 2026 melebihi RM11.6 bilion.

Menurutnya, pelaburan tersebut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan kepada syarikat pelabur.

Dalam usaha membangunkan perusahaan dan perniagaan masyarakat Bumiputera, Sarawak menetapkan kerangka strategik 3-7-20 yang menyasarkan tiga syarikat Bumiputera Sarawak disenaraikan di Bursa Malaysia, tujuh syarikat dibangunkan sebagai peneraju serantau dalam sektor strategik serta 20 peratus perusahaan mikro Bumiputera dinaik taraf kepada syarikat sendirian berhad menjelang 2030.

“Sembilan syarikat Bumiputera Sarawak telah dikenal pasti berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, manakala 22 syarikat berprestasi tinggi dengan perolehan tahunan melebihi RM10 juta dikenal pasti untuk pembangunan selanjutnya,” katanya.

AWANG Tengah merakam gambar kenangan bersama penerima sumbangan bantuan kewangan pada Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 di Hotel Sheraton, Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata usahawan Bumiputera perlu mempunyai disiplin dan kesungguhan untuk maju serta belajar daripada kegagalan bagi memperbaiki kelemahan.

Kerjasama dengan rakan perniagaan bukan Bumiputera juga digalakkan sekiranya dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kemahiran dan keupayaan, selain membimbing generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Dalam pada itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera memanfaatkan peluang yang disediakan oleh kerajaan Sarawak, PUNB dan agensi berkaitan, selain meningkatkan kemahiran, memperkukuh tadbir urus perniagaan, memanfaatkan teknologi digital serta membina jaringan strategik dengan pemain industri.

Oleh Shikin Mahmud