NEW YORK, 28 Oktober: Rangka fosil dinosaur Nanotyrannus yang jarang ditemukan berjaya dilelong pada harga AS$47.3 juta di New York, menurut laporan Associated Press pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Harga jualan itu jauh mengatasi anggaran awal Sotheby’s antara AS$6 juta hingga AS$9 juta sebelum lelongan berlangsung.
Menurut laporan itu, rangka dinosaur yang diberi nama jolokan “Jodi” berkenaan kini menjadi fosil dinosaur kedua termahal pernah dijual dalam lelongan.
Identiti pembeli dirahsiakan atas permintaannya, manakala proses bidaan berlangsung kira-kira 12 minit dengan pembida berjaya mengatasi lima pesaing lain yang menyertai lelongan menerusi telefon dan dalam talian.
Pada pertengahan Julai lalu, Sotheby’s turut melelong fosil dinosaur Tyrannosaurus rex yang diberi nama jolokan “Gus” di New York pada harga rekod AS$50.1 juta.
Jualan itu menjadikan “Gus” fosil dinosaur termahal pernah dilelong, sekali gus mengatasi anggaran harga awal antara US$20 juta hingga AS$30 juta.- Bernama-Sputnik/Ria Novosti





