KUALA LUMPUR, 28 Oktober: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk memperluas pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) kepada 10 sekolah tambahan pada tahun depan bagi meningkatkan akses pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata setakat ini, sembilan sekolah telah melaksanakan program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2023, yang membolehkan murid mengikuti pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di bawah satu bumbung.
Beliau berkata program rintis sekolah K11 dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Bedian, Sarawak dan SMK Benta, Pahang.
“Kita cakna bahawa memang ada lagi sekolah-sekolah yang belum mampu untuk menjadikannya sebagai sekolah K9 dan K11, tetapi sekiranya syarat ataupun keadaan sekolah-sekolah tersebut adalah bersesuaian, maka pihak KPM akan terus memastikan akses pendidikan itu sampai.
“Dari segi bantuan persekolahan, KPM menyediakan 18 jenis bantuan kepada anak-anak di bandar dan juga luar bandar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) yang ingin mengetahui pelan tindakan strategik kementerian untuk menyasarkan baki murid miskin tegar multidimensi yang menghadapi krisis keciciran jangka panjang.
Program sekolah K9 menyediakan akses pendidikan dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Tiga manakala sekolah K11 menyediakan akses pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, masing-masing di bawah satu bumbung yang sama.
Mengulas lanjut, Wong berkata KPM melaksanakan usaha berterusan bagi merapatkan jurang pendidikan melalui campur tangan bersasar dan juga penambahbaikan kurikulum dari semasa ke semasa sebagai satu langkah jangka panjang.
Beliau berkata di bawah Program Transformasi Daerah, intervensi berfokus telah dilaksanakan di 744 sekolah melibatkan 41,817 murid bagi enam mata pelajaran teras pada 2025, dengan memberi tumpuan kepada jurang pencapaian berdasarkan lokasi, status sosioekonomi dan jantina.
Katanya kadar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) luar bandar yang layak memperoleh sijil turut meningkat daripada 92.31 peratus pada 2024 kepada 92.9 peratus pada 2025, manakala jurang kadar kelayakan memperoleh sijil antara jantina mengecil daripada 5.95 kepada 5.32 mata dalam tempoh sama.
“Secara keseluruhan, pelaksanaan intervensi berfokus, sokongan akademik bersasar dan pembaharuan kurikulum mencerminkan komitmen KPM untuk meningkatkan ekuiti pendidikan serta memastikan setiap murid mendapat peluang pembelajaran yang berkualiti tanpa mengikut status sosioekonomi masing-masing,” katanya. – Bernama





