KUCHING, 28 Oktober: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) merancang memperkenalkan skim pembiayaan ‘Prosper Grow Plus’ pada Januari 2027 dengan kemudahan antara RM1 juta hingga RM10 juta bagi membantu syarikat Bumiputera mengembangkan perniagaan ke sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Pengerusinya, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, skim baharu itu merupakan kesinambungan kepada ‘Prosper Grow Plus’ sedia ada yang menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta.
Beliau berkata, ‘Prosper Grow Plus’ disasarkan kepada syarikat Sendirian Berhad Bumiputera yang telah berkembang dan bersedia meningkatkan skala operasi, termasuk melalui pelaburan dalam teknologi, automasi serta pelaksanaan kontrak berskala besar.
“PUNB menawarkan kadar keuntungan rata yang sangat kompetitif dan rendah iaitu hanya 3.5 peratus setahun, bertujuan meringankan kos modal usahawan apabila melabur dalam projek berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan aluan pada Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurutnya, skim itu menawarkan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun, manakala pelancaran rasmi serta perincian syarat permohonan akan diumumkan pada awal tahun depan.
Dalam perkembangan berkaitan, PUNB menyambut baik peningkatan peruntukan pembiayaan keseluruhannya kepada RM500 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi memperluas sokongan kepada usahawan Bumiputera.
Rastam berkata, kemudahan pembiayaan itu diharap dapat membantu usahawan tempatan memperkukuh modal pusingan, meningkatkan keupayaan teknologi dan memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar.
PUNB mahu melihat lebih ramai usahawan Sarawak berkembang daripada sekadar kontraktor kecil kepada pembekal utama, kontraktor berwibawa dan peneraju industri yang mampu bersaing di peringkat serantau.
Sejak memulakan operasi di Sarawak pada 1994 hingga 30 September 2026, PUNB telah membangunkan 354 usahawan dan perniagaan Bumiputera di negeri ini, termasuk 157 usahawan wanita.
Usaha berkenaan meliputi lebih 20 bandar dan pekan, termasuk Kuching, Miri, Bintulu, Daro dan Pusa.
“Daripada jumlah ini sebanyak 157 usahawan (sekitar 44 peratus) terdiri daripada usahawan wanita di negeri ini. Ini membuktikan bahawa sokongan PUNB sentiasa berteraskan keterangkuman sosial, selaras dengan perinsip kesaksamaan yang turut ditekankan dalam aspirasi pembangunan Sarawak,” katanya.
Bagi memperkukuh penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan industri, PUNB turut menjalinkan kerjasama dengan Sarawak Energy Berhad menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai pada 2025.
Kerjasama itu bertujuan membina kapasiti, memberikan latihan dan membantu vendor Bumiputera tempatan memenuhi piawaian perolehan serta keselamatan industri, sekali gus membuka peluang penyertaan dalam sektor tenaga dan infrastruktur utiliti.
Selain pembangunan keusahawanan, PUNB turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada 10 sekolah di sekitar Kuching sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.
Menerusi program Sinar Kebahagiaan (Ray of Happiness) yang dilaksanakan di Lawas dan Saratok sepanjang dua tahun lalu, seramai 1,080 pelajar mendapat manfaat daripada saringan pemeriksaan mata percuma, manakala 605 pelajar menerima bantuan cermin mata.
Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 turut menghimpunkan usahawan, agensi kerajaan dan peneraju industri bagi meneroka peluang pembiayaan serta kerjasama untuk memperkukuh pembangunan perniagaan Bumiputera di Sarawak.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud





