KUCHING, 27 Oktober: Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Bandaraya Se-Borneo menjadi wadah memperkukuh ukhuwah umat Islam di Kepulauan Borneo, selain membuka ruang perkongsian kepakaran serta pembangunan bakat dalam bidang al-Quran.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penganjuran majlis itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pertandingan kerana menghimpunkan masyarakat Islam dari pelbagai wilayah dan negara yang disatukan oleh kecintaan terhadap al-Quran.
Beliau berkata, pertemuan itu diharap dapat memperluas perkongsian kepakaran dalam bidang tilawah, hafazan, latihan guru serta pembangunan bakat, agar kerjasama yang terjalin dapat diteruskan selepas majlis ini berakhir.
“Walaupun kita dipisahkan oleh sempadan pentadbiran dan negara, masyarakat Islam Borneo tetap disatukan oleh kecintaan terhadap al-Quran,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Seramai 32 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini, terdiri daripada 17 peserta kategori tilawah al-Quran dan 15 peserta kategori hafazan.
Majlis itu menghimpunkan delegasi dari Brunei Darussalam, Sabah serta beberapa wilayah di Kalimantan, Indonesia, termasuk Kalimantan Barat, Kalimantan Utara, Kalimantan Tengah, Kalimantan Timur dan Kalimantan Selatan.
Abdul Rahman berkata, al-Quran merupakan pedoman kehidupan yang membimbing manusia dalam pelbagai aspek, justeru kemuliaan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur berdasarkan kekayaan, kedudukan atau kemajuan material, tetapi juga sejauh mana nilai dan ajarannya diamalkan.
Menurutnya, pembangunan pesat dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan infrastruktur perlu diseimbangkan dengan pengukuhan institusi agama serta pembangunan rohani masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dalam membawa pembangunan negeri, di samping memberi perhatian kepada keharmonian masyarakat dan pengukuhan institusi agama.
Dalam usaha memperkasakan pendidikan al-Quran, beliau berkata, Pusat al-Quran Darul Hana Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) ditubuhkan pada 2025 sebagai agensi baharu di bawah Majlis Islam Sarawak.
Mengulas lanjut, penubuhan pusat itu bertujuan memperluas peluang masyarakat bandar dan luar bandar untuk mempelajari serta mendalami al-Quran, selain melahirkan lebih ramai guru berkualiti dan memperkukuh institusi pengajian sedia ada.
Usaha pembangunan bakat qari, qariah, hafiz dan hafizah juga akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat peluang untuk menyerlah dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata, “kejayaan anak kelahiran Kuching, Ustazah Nur Syakura Mohamad Musa, yang dinobatkan sebagai Johan Qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 2026, membuktikan bakat anak Sarawak mampu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa”.
“Kejayaan itu perlu menjadi dorongan untuk mengenal pasti dan membimbing lebih ramai pelapis baharu, terutama dalam kalangan generasi muda”, katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda supaya sentiasa membaca, memahami dan menghayati al-Quran bagi membentuk masyarakat berilmu serta berakhlak mulia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara, jawatankuasa penganjur, barisan hakim, petugas, delegasi dan semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud




