Jerebu rentas sempadan perlu ditangani dari punca

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan berucap pada perasmian EEC 2026 di Kuching.

KUCHING, 27 Oktober: Masalah jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Sarawak sejak beberapa bulan lalu perlu ditangani di kawasan sumber bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama erat antara negara amat penting memandangkan pencemaran udara tidak mengenal sempadan antarabangsa.

Menurutnya, Sarawak turut menerima kesan jerebu apabila angin membawa asap dari kawasan luar Sarawak.

“Kita mengalami jerebu sejak beberapa bulan lalu dan masalah ini sebahagian besarnya berpunca daripada jerebu rentas sempadan.

“Apabila angin bertiup dari kawasan lain ke Sarawak, kita yang menerima kesannya. Justeru, masalah ini perlu ditangani dari kawasan puncanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Awang Tengah menjelaskan bahawa perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan kemerosotan alam sekitar merupakan cabaran bersama yang memerlukan kerjasama antarabangsa.

RAKAMAN gambar kenangan sempena perasmian EEC 2026 di Kuching.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk membangunkan pendekatan dan strategi bersama bagi menangani isu alam sekitar yang merentasi sempadan negara.

“Sarawak kekal komited terhadap pembangunan mampan melalui dasar pengurusan hutan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Sekurang-kurangnya 62 peratus daripada keseluruhan keluasan Sarawak, iaitu 12.4 juta hektar, masih dilitupi hutan hasil pelaksanaan dasar penggunaan tanah dan pengurusan hutan mampan.

“Keadaan itu turut menyumbang kepada komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan negara sebagai litupan hutan,” ujarnya.

Untuk rekod, beberapa kawasan di Sarawak, termasuk Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman, pernah mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hingga berbahaya ketika episod jerebu pada Ogos dan September lalu.

Episod jerebu yang berulang minggu ini turut menyebabkan 27 sekolah di daerah Tebedu, terdiri daripada 26 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, ditutup sementara semalam sebelum dibuka semula hari ini susulan perubahan keadaan kualiti udara.

Oleh Masrin Affirah