500 pemimpin akar umbi diberi penerangan hala tuju pembangunan Sarawak

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Peringkat DUN Bukit Begunan di Dewan Suarah Sri Aman. Foto Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Begunan

SIMANGGANG, 27 Oktober: Seramai 500 Ketua Kaum bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kawasan Pantu, Lingga dan Sri Aman berhimpun di Dewan Suarah Sri Aman bagi menyertai Program Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan, semalam.

Program itu menjadi platform bagi memperluas pemahaman masyarakat mengenai hala tuju pembangunan Sarawak, khususnya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain membuka ruang interaksi secara langsung antara pemimpin masyarakat dengan agensi kerajaan.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Begunan, Pejabat Daerah Sri Aman, Pejabat Daerah Lingga dan Pejabat Daerah Pantu.

Dalam ucapan alu-aluan, Penyandang Kerusi DUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menegaskan kepentingan program seumpama itu sebagai saluran untuk masyarakat mengemukakan pertanyaan, menyuarakan permasalahan serta mendapatkan penjelasan terus daripada agensi kerajaan berkaitan.

Menurut beliau, pertemuan yang menghimpunkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) itu turut memberi peluang kepada peserta mengeratkan silaturahim, bertukar pandangan serta berkongsi idea bagi memenuhi keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.

Beliau turut menggesa masyarakat agar meneruskan sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Bagi memastikan peserta mendapat maklumat secara menyeluruh, program itu turut diserikan dengan pameran serta sesi penerangan oleh pelbagai agensi dan organisasi.

Ia termasuk Jabatan Pertanian Daerah Sri Aman, Jabatan Kebajikan Bahagian Sri Aman, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, Sarawak Pay, Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, Yayasan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Penyertaan pelbagai agensi berkenaan membolehkan peserta mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan, kemudahan dan inisiatif yang disediakan, sekali gus membantu mereka memahami peluang serta bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

Mong turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, urus setia, kakitangan kerajaan, agensi yang terlibat dalam pameran serta Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bukit Begunan atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

Program itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan agensi kerajaan, di samping memastikan maklumat berkaitan dasar dan pembangunan Sarawak dapat disampaikan dengan lebih berkesan hingga ke peringkat akar umbi.

Oleh Adi Safarman