Keselamatan, pembangunan fasiliti Penjara Pusat Sri Aman diberi perhatian

Facebook
WhatsApp
LAWATAN kerja Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), TKJP Hafidz Othman ke Penjara Pusat Sri Aman. Foto Jabatan Penjara Sarawak

SIMANGGANG, 27 Oktober: Aspek keselamatan institusi, pembangunan fasiliti dan kebajikan warga kerja terus menjadi keutamaan Jabatan Penjara Malaysia menerusi lawatan kerja Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), TKJP Hafidz Othman ke Penjara Pusat Sri Aman, semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Penjara Sarawak, lawatan itu bertujuan meninjau perkembangan pembangunan fasiliti serta memastikan tahap keselamatan dan operasi penjara sentiasa berada pada tahap optimum.

Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke tapak pembinaan struktur keselamatan pagar penghalang panjatan bagi menilai kemajuan projek dan memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan.

TKJP Hafidz turut menerima taklimat daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, Jainudeen Bujang dan Pengarah Syarikat Sri Mayong Sdn Bhd, Solo Saint Djones Kaosz, mengenai perkembangan projek berkenaan.

Pembangunan fasiliti keselamatan itu diharap dapat memperkukuh kawalan keselamatan institusi, sekali gus meningkatkan keupayaan penjara dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau kemudian meninjau Pintu Utama, Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) serta blok penempatan penghuni bagi menilai aspek keselamatan, kawalan operasi dan keadaan persekitaran institusi.

Dalam lawatan sama, TKJP Hafidz turut mengunjungi kuarters kakitangan Penjara Pusat Sri Aman untuk meninjau kemudahan yang disediakan serta melihat aspek kebajikan warga jabatan.

Lawatan kerja itu turut diiringi Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Teyun Thian Eim dan Pengarah Penjara Pusat Sri Aman, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Zulhafiza Mohamed.

Lawatan itu mencerminkan komitmen kepimpinan Jabatan Penjara Malaysia untuk memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keselamatan institusi serta memberi perhatian kepada pembangunan fasiliti dan kebajikan warga kerja.

Usaha itu selaras dengan aspirasi jabatan untuk meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan korektif negara melalui pengurusan institusi yang lebih selamat, teratur dan berkesan.

Oleh Adi Safarman