SPAOH, 27 Oktober: Seorang wanita warga emas dikejarkan ke Hospital Betong selepas ditemukan dalam keadaan lemah di bilik tidurnya di Rumah Panjang Penom, Ulu Paku, di sini, pagi tadi.
Keadaan mangsa mencetuskan kebimbangan apabila pemeriksaan menggunakan alat pengesan tanda vital menunjukkan bacaan oksigen yang rendah.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.10 pagi sebelum menggerakkan empat anggota Skuad Charlie ke lokasi.
Pasukan berkenaan diketuai Sarjan Pertahanan Awam (PA) Kamarrul Badarudin dan menjalankan pemeriksaan awal sebaik tiba di rumah panjang terbabit.
Pemeriksaan fizikal mendapati tiada kecederaan luaran pada tubuh mangsa. Bagaimanapun, bacaan alat pengesan tanda vital menunjukkan mangsa memerlukan bantuan segera.
Mangsa kemudian dipindahkan ke ambulans APM dan diberikan terapi oksigen sepanjang perjalanan bagi membantu menstabilkan keadaannya sebelum diserahkan kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Betong untuk rawatan lanjut.
Tindakan pantas anggota APM Spaoh membolehkan mangsa menerima bantuan awal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
Maklumat lanjut mengenai keadaan terkini mangsa bagaimanapun belum diperoleh.
Oleh Adi Safarman




