NRDA laksana projek pembangunan rumah panjang Tagal Okolod di Long Tengoa

Facebook
WhatsApp
KEUNIKAN SARAWAK... Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kelihatan segak mengenakan pakaian tradisi suku kaum Tagal Okolod di Long Tengoa dan merupakan satu-satunya penempatan suku ini di pendalaman Sarawak.

LIMBANG, 27 Oktober: Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) akan melaksanakan projek pembangunan rumah panjang masyarakat suku kaum Tagal Okolod di Long Tengoa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata terdapat kekeliruan dalam permohonan Persatuan Tagal Okolod berhubung konsep rumah panjang yang dikehendaki.

Beliau berkata, perkara itu hanya disedari selepas meneliti pelan dan konsep rumah panjang berkenaan yang lebih menumpukan kepada pembangunan galeri warisan suku kaum Tagal Okolod Sarawak di Long Tengoa.

“Sekarang baharulah jelas konsep dan tujuan permohonan pembinaan rumah panjang yang dikemukakan oleh masyarakat suku kaum Tagal Okolod di Long Tengoa.

“Rupanya, rumah panjang itu bertujuan menjadi tempat untuk mempamerkan pelbagai aspek budaya masyarakat, khususnya suku kaum Tagal Okolod. Jadi, mungkin terdapat sedikit kekeliruan sebelum ini. Kini, baharulah saya memahami konsep sebenar yang dimaksudkan.

“Walaupun saya tidak dapat mengumumkan peruntukan itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan dan kita kini berada di bawah pentadbiran kerajaan sementara Sarawak, saya masih pengerusi NRDA. Oleh itu, pastikan permohonan tersebut dikemukakan kepada NRDA melalui Residen dan Pegawai Daerah Lawas,” katanya ketika merasmikan Ilau Sisimpun dan Lumba Rakit di Long Tengoa baru-baru ini.

Pada majlis itu, Awang Tengah turut bertemu rakan-rakan lama serta menyertai ketua-ketua suku kaum Tagal Okolod dari Lawas, Kalimantan dan Sabah dalam upacara adat di rumah kebudayaan Tagal Okolod.


Sementara itu, beliau turut menggesa masyarakat pribumi di Sarawak agar mengekalkan perpaduan yang telah sekian lama terjalin.

Katanya, perpaduan dan kerjasama penting bagi membolehkan kerajaan memerintah memberikan sepenuh perhatian terhadap keperluan rakyat serta melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan mereka.

“Kita hidup bercampur-campur dan tidak pernah menghadapi masalah. Selama ini, segala kesusahan kita hadapi bersama, manakala setiap kegembiraan kita raikan bersama-sama dengan semangat saling membantu.

“Namun, perbezaan politik kini seolah-olah menyebabkan masyarakat melupakan hakikat bahawa tanpa sokongan dan kebersamaan dengan kerajaan, kita akan menghadapi kesukaran.

“Oleh itu, tidak kira siapa juga calon kita di Ba’kelalan, kita perlu memastikan parti yang memerintah menang demi masa depan kita,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong turut mengumumkan pemberian geran kerajaan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Tagal Okolod Sarawak.

Oleh Adeng Edrus