KUCHING, 26 Oktober: Media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan yang disediakan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) kepada masyarakat di seluruh Sarawak.
Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerjasama media membantu memastikan pelbagai inisiatif TEGAS diketahui dan dimanfaatkan masyarakat, khususnya golongan belia.
“Media adalah jentera yang menterjemahkan dasar, peluang pendidikan, menjadikan satu naratif yang mudah difahami, seterusnya menginspirasikan rakyat keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Media TEGAS yang dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada pengamal media dan warga TEGAS, di sini, malam ini.

Jelas beliau, media turut berperanan memperluas hebahan program TEGAS di kawasan luar bandar, termasuk program jelajah di 14 lokasi dan penubuhan makmal mini teknologi di 25 sekolah.
“Media juga membantu mengetengahkan kisah kejayaan usahawan tempatan yang menerima sokongan menerusi program pembangunan perniagaan TEGAS,” jelasnya.
Len Talif berharap kerjasama dengan media dapat diteruskan bagi memastikan lebih ramai masyarakat Sarawak mendapat maklumat mengenai peluang yang disediakan TEGAS.
Untuk rekod, sejak ditubuhkan pada 28 Februari 2012, TEGAS telah melibatkan lebih 400,000 peserta dalam pelbagai program pembangunan bakat, pendidikan dan keusahawanan digital.
Oleh Masrin Affirah




