KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Kementerian Pertahanan tiada halangan terhadap cadangan Kerajaan Sarawak supaya Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Bintulu, berbanding lokasi asal yang dikenal pasti di Muara Tebas, Kuching.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian kini mempertimbangkan semula cadangan berkenaan dan akan mengemukakan kertas sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada kerajaan untuk mendapatkan keputusan.
“Kementerian Pertahanan sedang menimbangkan permintaan Kerajaan Negeri Sarawak supaya dipertimbangkan semula penempatan Mawilla 4 di Bintulu.
“Dari segi dasarnya, kementerian tiada halangan dan kami akan mengangkat satu kertas sidang MKN kepada kerajaan untuk mendapatkan keputusan supaya menerima dan bersetuju dengan penempatan Mawilla 4 di Bintulu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Saratok mengenai cadangan pemindahan lokasi Mawilla 4 serta keperluan mengekalkan pangkalan TLDM di Bintulu.
Khaled berkata, lokasi Mawilla 4 sebelum ini dikenal pasti di Muara Tebas, Kuching selepas cadangan asal untuk menempatkan markas berkenaan di Bintulu diubah atas faktor kesesuaian lokasi serta kos penyelenggaraan infrastruktur maritim.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Tentera Darat Malaysia telah membina dan menduduki lapan pos baharu di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia dalam tempoh 2024 hingga 2026, manakala satu lagi pos dijangka siap pada Disember ini.
Beliau berkata dua pos baharu turut dirancang untuk dibina pada 2027 bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan.
Menurutnya, rondaan di kawasan sempadan turut disokong penggunaan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) atau dron, selain Sistem Pengesanan Pencerobohan Keselamatan bagi meningkatkan keupayaan pemantauan dan pengesanan.
“Starlink, ConnectMe dan jalur-X pula dipasang di beberapa pos bagi memperkukuh sistem komunikasi dan penyampaian maklumat operasi,” katanya.
Khaled turut memaklumkan kerajaan berhasrat menambah jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah bagi memperkukuh kehadiran dan kesiapsiagaan keselamatan di negeri itu.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan dijangka membuat keputusan bulan depan berhubung pemilihan peluru berpandu bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) yang digunakan oleh kapal tempur pesisir (LCS), susulan Norway tidak meluluskan lesen eksport bagi sistem berkenaan.
Beliau berkata beberapa pembekal dari Perancis, Itali dan Türkiye dikenal pasti bagi membekalkan sistem peluru berpandu pengganti itu.
Katanya, kerajaan juga mempertimbangkan kemungkinan menggunakan sistem peluru berpandu yang sama seperti yang digunakan oleh Kapal Misi Pesisir (LMS) bagi mengurangkan kos. – Bernama





