KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Penyanyi dan pelakon pop Indonesia bertaraf antarabangsa, Agnez Mo, mencipta sejarah apabila menjadi selebriti Indonesia pertama yang diabadikan menerusi patung lilin di Madame Tussauds Hollywood, Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan Madame Tussauds Hollywood, pihaknya secara rasmi memperkenalkan patung lilin penyanyi dan pelakon serba boleh itu yang mengenakan sut hitam berkilauan seperti yang dipakainya dalam video muzik “Get Loose” pada 2023, hasil kolaborasi dengan penyanyi Amerika Syarikat, Ciara.
Mengulas pencapaian itu, Agnez Mo, yang turut membintangi musim keempat siri popular Amazon Prime, Reacher, menyifatkan penghormatan berkenaan sebagai sesuatu yang amat bermakna kerana melambangkan ketabahan dan keunikan dirinya.
“Diiktiraf di Madame Tussauds Hollywood merupakan satu penghormatan yang luar biasa, namun apa yang menjadikan detik ini benar-benar bermakna ialah simbolik di sebaliknya. Seorang gadis kecil yang sentiasa berasa dirinya tidak sesuai dengan persekitaran, yang enggan membiarkan dunia menentukan batas kemampuannya dan menjadikan perbezaan dirinya sebagai kekuatan terbesar.
“Kepada setiap kanak-kanak yang pernah berasa diri mereka terlalu berbeza, terlalu pelik atau sekadar tidak difahami: anda tidak sepatutnya perlu mengikut acuan orang lain. Kekalkan keaslian diri. Jadilah diri sendiri,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 23 Oktober.
Pengurus Besar Madame Tussauds Hollywood dan Hollywood Rooftop Restaurant & Bar, Jesse Harbison, mengalu-alukan penambahan patung lilin itu sambil menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai inspirasi kepada bakat baharu yang mahu mengikuti jejak langkah Agnez Mo.
Menurut Madame Tussauds, penghasilan setiap patung lilin yang menyerupai individu sebenar memerlukan khidmat pasukan khusus yang terdiri daripada kira-kira 20 artis mahir dan mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan.
Proses yang teliti itu melibatkan penelitian ratusan gambar rujukan, pembentukan arca tanah liat, penghasilan acuan dan kerja mengecat secara terperinci menggunakan tangan. Proses itu turut merangkumi pemasangan setiap helaian rambut satu demi satu bagi menghasilkan patung yang menyerupai individu sebenar dengan setepat mungkin.
Pengunjung kini boleh melihat patung lilin Agnez Mo di Madame Tussauds Hollywood, yang terletak di sepanjang laluan ikonik Hollywood Walk of Fame. – Bernama





