KUCHING, 26 Oktober: Sebuah syarikat teknologi antarabangsa terkemuka berminat melabur dalam pembangunan pusat data pintar di Kuching, dengan nilai pelaburan dianggarkan sekitar AS$50 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan pelaburan itu sememangnya termasuk dalam perancangan negeri, namun identiti syarikat terbabit belum dapat didedahkan buat masa ini.
“Memang apa yang dikatakan Perdana Menteri itu betul, tetapi dalam rangka perancangan memang ada cadangan untuk melabur di negeri ini dengan pusat data pintar (intelligent data centre).
“Kita tidak dapat sebut nama pelabur dahulu kerana ia merupakan syarikat antarabangsa terkemuka, tetapi memang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Bandar Sarawak 2.0 (SUF 2.0) di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada nilai pelaburan AS$50 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu khusus untuk Sarawak, Abang Johari berkata, jumlah berkenaan berkemungkinan hampir dengan nilai sebenar.
“Saya tidak tahu, mungkin lebih kurang jumlah itu.
“Sekitar Tanjung Embang berkemungkinan menjadi pilihan lokasi bagi cadangan pelaburan itu,” katanya.
Pada 24 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa seorang pelabur antarabangsa berhasrat melabur sebanyak AS$50 bilion dalam sektor kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung Malaysia.
Menurut Anwar, hasrat pelaburan itu disampaikan menerusi sidang video pada 20 Oktober lalu, dengan Kuching antara lokasi yang dikenal pasti bagi cadangan pelaburan berkenaan.
Oleh Masrin Affirah





