Kilang Spun Pile & Pole pacu pertumbuhan industri Tanjung Manis, buka peluang ekonomi baharu

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memotong riben sebagai tanda perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Spun Pile & Pole di Bandar Baru Tanjung Manis.

TANJUNG MANIS, 26 Oktober: Pembinaan Kilang Spun Pile & Pole dengan kos pembangunan keseluruhan dianggarkan RM50 juta bakal memperkukuh sektor pembuatan bahan binaan, merancakkan aktiviti perindustrian serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat tempatan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, projek yang melibatkan tapak seluas 5.38 hektar bagi fasa pertama itu turut menjadi langkah memperluas pembangunan industri hiliran, khususnya dalam pengeluaran produk konkrit prategasan bagi memenuhi keperluan sektor pembinaan, infrastruktur dan utiliti.

“Majlis pada hari ini bukan sekadar menandakan permulaan pembinaan sebuah kilang, tetapi juga mencerminkan keyakinan terhadap potensi ekonomi Sarawak, khususnya dalam memperkukuh sektor pembuatan dan pembangunan industri hiliran.

“Projek ini membawa harapan kepada pertumbuhan ekonomi setempat, pewujudan peluang pekerjaan serta pembangunan ekosistem industri yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang Spun Pile & Pole di Bandar Baru Tanjung Manis, hari ini.

Menurut Awang Tengah, pembangunan kilang itu akan memperkukuh kapasiti pembuatan produk konkrit prategasan, khususnya cerucuk konkrit berputar (spun piles) dan tiang konkrit (concrete poles) yang digunakan secara meluas dalam sektor pembinaan serta pembangunan kemudahan utiliti.

“Cerucuk konkrit berfungsi sebagai elemen asas struktur bagi menyokong pembinaan bangunan, kemudahan industri dan infrastruktur, manakala tiang konkrit digunakan dalam pelbagai aplikasi utiliti.

“Permintaan terhadap produk ini berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur, pertumbuhan kawasan perindustrian dan peningkatan keperluan pembinaan,” katanya.

DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Eksekutif PMW International Berhad Group, Lee Hon Hwa.

Beliau berkata, kilang itu berpotensi memenuhi keperluan pasaran menerusi pengeluaran produk yang menepati standard kualiti, spesifikasi teknikal dan kehendak pelanggan.

“Kejayaan sesebuah kilang bukan hanya diukur berdasarkan nilai pelaburan atau kapasiti pengeluaran, tetapi juga berdasarkan keupayaannya mewujudkan nilai tambah kepada ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada syarikat kecil tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan berorientasikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Beliau berkata, bagi separuh pertama 2026, Sarawak merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM11.2 bilion merangkumi sektor primer, pembuatan dan perkhidmatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 61 peratus merupakan pelaburan domestik, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap hala tuju pembangunan ekonomi negeri.

“Sebanyak 62 peratus projek sektor pembuatan yang diluluskan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Bagaimanapun, keutamaan kita bukan sekadar menarik dan meluluskan pelaburan, tetapi memastikan pelaburan tersebut direalisasikan menerusi projek yang beroperasi dan menjana aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, usaha mempercepat pelaksanaan projek, memperkemas proses fasilitasi pelaburan serta menyelesaikan isu yang boleh menjejaskan kemajuan projek perlu diteruskan.

PENGURUS Besar PUSAKA, Datu Zainal Abidin Abdullah menyerahkan cenderamata kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

“Pada masa sama, beberapa cadangan pelaburan lain sedang melalui proses penilaian dan rundingan, dengan lebih banyak keputusan muktamad dijangka dibuat pada suku berikutnya.

“Setiap pelaburan yang direalisasikan perlu memberikan manfaat lebih luas melalui pemindahan teknologi, peningkatan pengetahuan dan kemahiran, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta pembukaan peluang kepada syarikat Sarawak untuk berkembang,” katanya.

Mengulas potensi Tanjung Manis, Awang Tengah berkata kawasan itu mempunyai kelebihan untuk terus berkembang sebagai pusat aktiviti ekonomi dan perindustrian yang menyokong pembangunan wilayah tengah Sarawak.

Katanya, pembangunan industri di kawasan berkenaan perlu dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira kemudahan pengeluaran, logistik, rantaian bekalan, tenaga kerja dan akses kepada pasaran.

“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Sarawak akan terus memperkukuh asas perindustriannya melalui pembangunan industri bernilai tinggi, peningkatan penyertaan syarikat tempatan serta pembentukan rantaian nilai industri yang lebih kukuh.

“Pendekatan tersebut penting bagi memastikan pertumbuhan sektor perindustrian turut memberikan manfaat kepada pengilang, pembekal, kontraktor dan penyedia perkhidmatan tempatan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, pelabur, perusahaan tempatan dan institusi teknikal dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan keupayaan syarikat tempatan.

Dalam pada itu, Awang Tengah mengingatkan bahawa pertumbuhan industri perlu diseimbangkan dengan aspek kualiti, keselamatan, kecekapan dan kelestarian.

TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama tetamu-tetamu kehormat yang lain melakukan simbolik pecah tanah Kilang Spun Pile & Pole.

Menurutnya, pengoperasian kilang itu kelak perlu memberikan perhatian kepada penggunaan teknologi yang bersesuaian, kawalan kualiti yang konsisten, pematuhan standard keselamatan pekerjaan dan pengurusan sumber yang baik.

“Pembangunan tenaga kerja juga perlu diberi keutamaan bagi memastikan industri mempunyai pekerja berkemahiran teknikal, berpengetahuan dan mampu menyesuaikan diri dengan teknologi moden.

“Kita mahu pelaburan seperti ini bukan sahaja membawa masuk modal, tetapi turut membina keupayaan tempatan, menggalakkan pemindahan pengetahuan dan membuka peluang kerjaya kepada rakyat di Mukah khususnya dan Sarawak amnya,” katanya.

Awang Tengah, yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), berkata pembangunan industri memerlukan kerjasama pelbagai sektor dan pihak berkepentingan bagi membentuk ekosistem perindustrian yang saling melengkapi.

Tambahnya, PUSAKA terus memberikan perhatian kepada usaha memperkukuh industri perkayuan Sarawak, membangunkan produk hiliran bernilai tambah serta memperluas peluang pelaburan dalam sektor berkaitan.

“Pembinaan kilang produk konkrit prategasan ini turut dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan ekosistem perindustrian yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.

“Saya berharap kilang tersebut dapat disiapkan mengikut perancangan sebelum memulakan operasi, seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti ekonomi.

“Kejayaan projek ini nanti bukan sahaja menjadi pencapaian pihak syarikat, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak secara keseluruhan,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya; Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab; Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Dato’ Sri Mohd Naroden Majais; Pengurus Besar PUSAKA, Datu Zainal Abidin Abdullah; Residen Mukah, Bujang Rahman Seli; serta Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMW International Berhad, Lee Hon Hwa.

Oleh Earl Anek