Belle Sisoski angkat warisan muzik Borneo ke pentas dunia

Facebook
WhatsApp
BELLE Sisoski angkat warisan muzik Borneo ke pentas dunia. Foto TikTok Belle Sisoski

NAGOYA, 26 Oktober: Alat muzik tradisional masyarakat Lun Bawang dari Borneo, tapi’, yang semakin dilupakan kini menemukan ruang baharu untuk didengari dunia apabila penyanyi dan pemuzik tempatan Belle Sisoski melaungkan bunyinya menerusi projek muzik Toyota, Move Your World Beat.

Keunikan bunyi tapi’ digabungkan dengan muzik elektronik dalam projek lagu New Day Rising, menjadi wadah menghidupkan semula warisan muzik etnik yang diancam kepupusan.

Peluang keemasan itu membuka ruang buat Belle, 20, untuk mewakili Malaysia dalam sebuah projek muzik antarabangsa, sekali gus memperkenalkan tapi’ kepada generasi baharu.

“Saya berasa amat berbesar hati dan bertuah kerana berpeluang berada di sini untuk memperkenalkan budaya kami, termasuk alat-alat muzik etnik yang semakin dilupakan dan hampir pupus,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran projek muzik itu di Jepun, baru-baru ini.

Belle berkata tapi’ mempunyai nilai warisan tinggi dan wajar diberi lebih banyak pendedahan menerusi pendekatan kreatif yang sesuai dengan perkembangan muzik semasa. 

Beliau berkata usaha memperkenalkan semula alat muzik berkenaan kepada khalayak lebih luas turut didorong oleh hasrat untuk memastikan warisan itu terus dikenali dan tidak terputus daripada generasi akan datang.

“Saya berasa amat teruja kerana berpeluang memperkenalkan alat muzik tradisional ini ke pentas dunia, selain menggabungkannya dengan teknologi moden dan muzik elektronik.

“Matlamat kami adalah untuk menghidupkan semula alat muzik ini serta memperluas pendedahannya kepada khalayak menerusi media arus perdana. Saya berharap generasi akan datang, termasuk generasi saya sendiri, dapat menggabungkan alat muzik tradisional ini dengan muzik elektronik dan muzik moden,” katanya.

Belle berkata pertembungan tradisi dan kemodenan bukan sahaja membuka ruang kepada eksperimen muzik, malah membolehkan warisan budaya disampaikan dalam bentuk yang lebih dekat dengan pendengar masa kini.

Menerusi New Day Rising, Belle turut menggabungkan elemen pelbagai tradisi muzik Malaysia, termasuk rebab dan serunai daripada Mak Yong Kelantan, gamelan serta alat muzik daripada pengaruh budaya Cina dan India.

“Pelbagai alat muzik seperti gendang anak dan serunai digabungkan dalam satu trek yang menjadikan pengalaman bekerjasama dengan mereka amat menyeronokkan,” katanya.

Lagu berkenaan diterbitkan menerusi inisiatif sulung Motor Asia yang dikenali sebagai Move Your World Beat Volume 1 menghimpunkan tujuh artis dari enam negara Asia, iaitu Malaysia, Vietnam, Filipina, Pakistan, Singapura dan Thailand.

Projek itu menggabungkan warisan muzik tradisional dengan inovasi muzik moden, termasuk penggunaan bunyi kenderaan yang diolah menjadi sebahagian daripada komposisi lagu dengan melibatkan pemuzik lain seperti 2pillz dari Vietnam, Miguel Benjamin dan Paolo Benjamin daripada kumpulan Ben&Ben dari Filipina, Natasha Noorani dari Pakistan, Shye dari Singapura serta Valentina Ploy dari Thailand.

Belle berkata proses menghasilkan lagu itu bermula dengan perbincangan pada Oktober tahun lepas sebelum para artis bekerjasama dalam talian untuk membangunkan idea muzik masing-masing dan menyatukannya menjadi sebuah karya.

“Perancangan bermula pada Oktober, namun pelaksanaannya hanya mengambil masa singkat, iaitu sejak Mac lepas, namun perkembangan yang dicapai hasil kerjasama dan usaha kolektif kumpulan ini amat memberangsangkan,” katanya.

Walaupun kebanyakan proses penghasilan muzik berlangsung dalam talian, Belle berkata kerjasama itu membolehkan artis daripada latar budaya berbeza bertukar idea dan membina hubungan sebelum bertemu secara fizikal bagi penggambaran video muzik di Thailand.

Mengulas pengalaman membawa identiti muzik Malaysia ke dalam projek berkenaan, Belle menyifatkannya sebagai peluang segar yang berpotensi membuka lebih banyak ruang kerjasama kreatif di rantau Asia.

“Peluang menggabungkan pelbagai budaya dalam satu karya turut memperkukuh keyakinan bahawa muzik mampu menjadi medium untuk menghubungkan masyarakat yang berbeza latar belakang.

“Usaha ini menyatukan pelbagai budaya dan membawa pendekatan baharu yang mencerminkan masa depan Asia. Saya amat berbesar hati dan bangga kerana berpeluang membawa keunikan muzik Malaysia ke pentas dunia,” katanya. – Bernama