KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Pelaksanaan Inisiatif Bandar AI di sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih berjaya merekodkan impak ketara khususnya dalam pengurusan lalu lintas, termasuk mengurangkan kadar kesesakan jalan raya antara 10 dan 15 peratus oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Kementerian Digital memaklumkan inisiatif pemangkin di bawah Pelan Tindakan AI Negara 2026-2030 itu turut memperlihatkan kejayaan di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam meningkatkan kelancaran trafik di kawasan sesak daripada dua minit kepada 40 saat menerusi penyelarasan fasa lampu hijau.
Menurut kementerian itu, sebanyak 28 projek telah dibangunkan di bawah inisiatif berkenaan melibatkan sembilan PBT yang dijadikan makmal hidup (living labs) dan tapak pengujian (testbeds) menerusi Geran Perusahaan 5G dan Bandar AI yang dimulakan pada 13 Ogos 2025.
Sembilan PBT terbabit ialah MBPP, MBI, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Perbadanan Putrajaya (PPj), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Kementerian Digital memaklumkan demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung jaminan bagi mengelakkan pertindihan projek atau pembangunan teknologi bersifat silo (terasing) antara bandar di negara ini dan bagaimana inisiatif Bandar AI memberikan nafas baharu kepada bandar lama seperti Muar.
Menjawab kebimbangan mengenai pertindihan projek atau pembangunan teknologi secara terasing, kementerian menegaskan bahawa bukan semua 156 PBT di seluruh negara perlu membangunkan sistem AI masing-masing.
“Kementerian Digital akan membangunkan platform data bersepadu yang merangkumi AI Algorithm Bank dan AI Marketplace yang boleh dikongsikan oleh semua PBT.
“Ini bagi memastikan bahawa teknologi, data dan penyelesaian yang terbukti berkesan dapat dimanfaatkan secara bersama bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan transformasi ke arah Negara AI 2030,” menurut kementerian itu.
Menurutnya, kerajaan kini sedang memperkukuh projek individu kepada ekosistem Bandar AI bersepadu berlandaskan prinsip “Build Once, Reuse and Scale”, selaras dengan mandat Perdana Menteri melalui Mesyuarat Khas Pelaksanaan Model Bandar AI pada 10 April 2026 serta penubuhan Pasukan Petugas Bandar AI pada Ogos 2026.
Langkah penyelarasan itu turut merangkumi cadangan penubuhan Pusat Kawalan Negara (NCC) yang menggabungkan analitik AI dan Digital Twin ke arah merealisasikan konsep Thinking City iaitu bandar yang bukan sekadar memantau, sebaliknya berkeupayaan menjangka serta menangani masalah.
Menyentuh pelaksanaan di bandar lama seperti Muar, kementerian memaklumkan Majlis Perbandaran Muar (MPM) telah menerima pengiktirafan Tahap 1: Smart City Early Adopter di bawah Program Penarafan Bandar Pintar Malaysia oleh PLANMalaysia dengan pelbagai inisiatif sedia ada termasuk Smart Command Centre dan pengurusan sisa pintar.
“Justeru, Inisiatif Bandar AI berpotensi memberikan nafas baharu kepada Muar dengan meningkatkan keupayaan sistem sedia ada secara berfasa, tertakluk kepada keperluan setempat, kesiapsiagaan data dan kerjasama Kerajaan Negeri serta PBT,” menurut kementerian itu. – Bernama




