SERIAN, 26 Oktober: Program pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berpotensi memupuk rasa ingin tahu serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang berkenaan melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, maklum balas guru yang meminta agar lebih banyak program seumpama itu dilaksanakan menunjukkan penerimaan positif terhadap pendekatan berkenaan.
“Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Ia mencetuskan rasa ingin tahu, bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah guru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Kit Sains Sarawak (KITSS) dan Program Jangkauan Sekolah Discover Petronas: Kem Matematik di Borneo Empurau Farm & Resort, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, PETRONAS menyumbangkan 60 kit STEM mudah alih bernilai RM1.2 juta bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran STEM secara praktikal di sekolah-sekolah di seluruh Sarawak.
Setiap kit mengandungi 50 model sains dan peralatan pembelajaran, termasuk model rangka manusia bersaiz sebenar, kit litar elektronik serta bahan pembelajaran interaktif lain.
Kit berkenaan akan diselaraskan dan diagihkan oleh Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak (PAGS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), berdasarkan kepadatan sekolah dan keperluan setempat, dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar serta sekolah yang kurang mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen Petronas dalam menyokong pembangunan modal insan Sarawak, khususnya dengan memperluas akses kepada pembelajaran STEM secara praktikal dan menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee.
Oleh Adele Rissa





