KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin dalam persekitaran sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada 27 hingga 28 Oktober.
Pada 8.02 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0815/0870 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.2 peratus manakala hasil Perbendaharaan AS turut mencatat kenaikan.
“Justeru, sentimen pasaran dijangka terus berhati-hati dengan harga minyak mentah Brent kekal tinggi pada AS$116 setong berikutan perang yang berterusan di Asia Barat berkemungkinan menjejaskan bekalan minyak mentah global.
“Oleh itu, ringgit dijangka terus diniagakan dalam jajaran kecil hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit menurun berbanding euro kepada 4.5790/5852 daripada 4.5735/5780, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6020/6057 daripada 2.6076/6103 dan tinggi berbanding pound kepada 5.4602/4676 daripada 5.4633/4687 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0865/1086 daripada 12.0985/1154 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1937/1982 daripada 3.1952/1986 sebelum ini.
Mata wang tempatan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 225.7/226.1 daripada 225.8/226.1 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.43.- Bernama




