KUCHING, 25 Oktober: Sebanyak 27 sekolah di daerah Tebedu akan ditutup sementara esok susulan keadaan jerebu, berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan media hari ini memaklumkan penutupan itu melibatkan sebuah sekolah menengah dan 26 sekolah rendah pada Isnin, 26 Oktober.
Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan, manakala guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).
Menurut kenyataan itu, penutupan sementara turut terpakai kepada semua sekolah rendah dan menengah di daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200 selepas kenyataan berkenaan dikeluarkan.
Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka akan diteruskan bagi calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan pemakaian pelitup muka diwajibkan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Bagi sekolah berhampiran daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan murid.
JPN Sarawak turut memaklumkan bahawa persediaan pembukaan semula sekolah boleh dilakukan sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada bawah 200.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan jabatan itu juga dinasihatkan supaya memantau perkembangan semasa melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi garis panduan berkaitan aktiviti luar ketika cuaca panas dan saranan Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, ibu bapa atau penjaga dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
JPN Sarawak menegaskan bahawa kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga institusi pendidikan sentiasa menjadi keutamaan jabatan itu.





