Sivasangari juara Terbuka Silicon Valley 2026

Facebook
WhatsApp
S Sivasangari muncul juara Terbuka Silicon Valley 2026 selepas menewaskan Farida Mohamed dari Mesir. Foto Facebook Silicon Valley Open Squash.

KUALA LUMPUR, 25 Oktober: Pemain skuasy wanita negara S Sivasangari muncul juara selepas menewaskan Farida Mohamed dari Mesir pada aksi final Terbuka Silicon Valley 2026 di Redwood City, California, pada Sabtu.

Pemain keempat dunia itu menampilkan aksi cemerlang sepanjang 31 minit sebelum mengecewakan lawannya, sekali gus merangkul kejuaraan kejohanan bertaraf Emas itu pada percubaan kedua selepas muncul naib juara pada edisi tahun lepas.

Kemenangan itu merupakan gelaran keempat Sivasangari dalam kejohanan bertaraf Emas, selain kejuaraan sulungnya dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) musim ini.

“Saya pernah menetapkan sasaran untuk mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Platinum dan sudah berjaya melakukannya pada awal musim ini.

“Jadi sekarang saya mahu melangkah lebih jauh dan cuba memenangi kejohanan Platinum,” katanya kepada PSA Squash Tour selepas perlawanan akhir, yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$143,500 (kira-kira RM585,637) bagi kategori wanita.

Bulan lepas, Sivasangari mempertahankan pingat emas perseorangan wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebelum membantu Malaysia meraih emas acara berpasukan wanita.

Kejayaan pemain kelahiran Kedah berusia 27 tahun di Jepun, turut melayakkannya beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).-  Bernama