KUALA LUMPUR, 25 Oktober: Sebanyak 12 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10.00 pagi ini dengan stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 194.
Menurut Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), tiga kawasan di Sarawak turut mencatat bacaan tidak sihat, iaitu Kuching (188), Samarahan (182) dan Sri Aman (159).
Di Johor, bacaan IPU tidak sihat direkodkan di Pasir Gudang dan Batu Pahat, iaitu masing-masing 156, Kluang (154), Larkin (151) serta Kota Tinggi (102).
Di Negeri Sembilan, Nilai dan Seremban masing-masing mencatatkan bacaan 151 manakala Paka, Terengganu merekodkan 154.
Sebanyak 45 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU pada tahap sederhana manakala 11 kawasan berada pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.- Bernama





