JCI perkasa bakat, kepimpinan generasi muda

Facebook
WhatsApp
SELAMAT MAJU JAYA......Tiang menyaksikan Tan (kanan) mengangkat sumpah sebagai Presiden Kebangsaan JCI Malaysia yang baharu bagi mengantikan Leng (kiri).

SIBU, 25 Oktober: Penglibatan golongan muda dalam organisasi seperti Junior Chamber International (JCI) penting bagi melahirkan pemimpin masa depan yang berintegriti, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta ekonomi.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, golongan muda perlu melengkapkan diri dengan kemahiran komunikasi, keupayaan menyesuaikan diri dan keberanian bekerjasama dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, kelayakan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin dipengaruhi perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi dan perubahan ekonomi.

“Golongan muda memerlukan lebih daripada sekadar kelayakan. Mereka perlu mempunyai integriti, kemahiran komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Malam Gala sempena Konvensyen Kebangsaan Junior Chamber International (JCI) Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini malam tadi.

Tiang berkata, program seperti pertandingan pengucapan awam dan debat, Pertandingan Usahawan Muda Kreatif, Forum Wanita serta Ekspo Perdagangan memberi peluang kepada peserta membina keyakinan, mengasah bakat dan meneroka peluang baharu.

Katanya, pengalaman memikul tanggungjawab dalam organisasi turut membantu golongan muda memahami nilai kepimpinan, termasuk keupayaan mendengar pandangan, membuat keputusan sukar dan menyatukan orang ramai untuk mencapai matlamat bersama.

Beliau berkata, tema JCI Malaysia 2026, ‘Power of One’, dan tema JCI Sibu, ‘EMPOWER’, membawa mesej bahawa perubahan besar boleh bermula daripada tindakan seorang individu yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain.

“Seorang anak muda yang memulakan inisiatif kemasyarakatan mampu memberi inspirasi kepada orang lain, manakala seorang usahawan yang berkongsi pengalaman boleh membantu perniagaan lain berkembang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tiang berkata, usaha membangunkan komuniti yang kukuh memerlukan kerjasama kerajaan, sektor perniagaan, institusi pendidikan, masyarakat sivil dan golongan muda, bukannya bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Beliau turut menggesa ahli muda JCI supaya tidak menunggu sehingga memegang jawatan kepimpinan untuk menyumbang, sebaliknya berani mengemukakan idea, menawarkan diri menyertai projek dan membina hubungan yang boleh membuka peluang pada masa hadapan.

Majlis itu turut menyaksikan Tan Chin Jie mengangkat sumpah sebagai Presiden Kebangsaan JCI Malaysia yang baharu bagi menggantikan Vincent Leng Wei Shen.

Konvensyen Kebangsaan JCI Malaysia 2026 menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi dari seluruh negara, sekali gus menjadi platform untuk memperkenalkan masyarakat, budaya dan peluang perniagaan di Sibu serta Sarawak.

Oleh Akun Giman