GEMA@KKDW perkukuh pembangunan komuniti, tingkat kesejahteraan masyarakat desa

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing merasmikan Program GEMA@KKDW 2026 di Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan. Foto Pusat Khidmat DUN Meradong

BINTANGOR, 25 Oktober: Pembangunan masyarakat desa perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberikan penekanan terhadap peningkatan kemahiran, pengukuhan ekonomi, kesejahteraan hidup dan kepimpinan komuniti bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha tersebut memerlukan penglibatan aktif masyarakat dan kerjasama berterusan antara penduduk dengan agensi kerajaan bagi mengenal pasti keperluan pembangunan setempat.

“Program GEMA@KKDW memberi tumpuan kepada pembangunan golongan dewasa dan belia melalui pelbagai aktiviti yang merangkumi aspek kemahiran, ekonomi, kesejahteraan dan kepimpinan.

“Penglibatan aktif masyarakat dalam program seperti ini penting bagi memperkukuh keupayaan komuniti supaya lebih bersedia menghadapi perubahan semasa, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan penduduk,” katanya.

DATUK Ding Koung Hiing bergambar bersama penduduk Kampung Darul Falah. Foto Pusat Khidmat DUN Meradong

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program GEMA@KKDW 2026 di Kampung Darul Falah, Sungai Gemuan, semalam.

Tambahnya, penganjuran program tersebut turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan.

“Melalui program ini, masyarakat bukan sahaja berpeluang mengenali perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan, malah dapat menyampaikan pandangan, keperluan dan cadangan yang berkaitan dengan pembangunan setempat.

“Maklum balas daripada masyarakat amat penting bagi membantu memperkukuh pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersesuaian dengan keperluan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik penyampaian sumbangan Bakul Kasih kepada golongan yang layak dan memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha memberikan perhatian terhadap kebajikan masyarakat.

Ding turut menekankan kepentingan aktiviti kemasyarakatan seperti rewang dan sukaneka yang menjadi antara pengisian program tersebut.

“Semangat gotong-royong dan penglibatan aktif masyarakat perlu terus dipupuk kerana komuniti yang bekerjasama, prihatin serta bertanggungjawab mampu mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya lagi.

Katanya, hubungan erat antara masyarakat dengan agensi kerajaan juga perlu diperkukuh supaya pelbagai isu dan keperluan di peringkat akar umbi dapat dikenal pasti dengan lebih berkesan.

Sehubungan dengan itu, Ding berharap Program GEMA@KKDW dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dan berterusan dalam usaha memperkukuh pembangunan masyarakat desa.

“Pandangan serta keperluan masyarakat yang dikenal pasti sepanjang program ini diharap dapat membantu menambah baik usaha pembangunan masyarakat pada masa hadapan,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Bahagian Sarikei atas komitmen dan usaha berterusan dalam melaksanakan program yang memberikan manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Turut hadir, Pegawai KEMAS Bahagian Sarikei, Abu Sombang; Penolong Pegawai Daerah Meradong, Sonia Hii dan Ketua Masyarakat Kampung Darul Falah, Rabaie Mat.

Oleh Earl Anek

JCI perkasa bakat, kepimpinan generasi muda

SIBU, 25 Oktober: Penglibatan golongan muda dalam organisasi seperti Junior Chamber International (JCI) penting bagi melahirkan pemimpin masa depan yang