Polis tahan suspek dipercayai terbabit beberapa kes ragut di Kuching

Facebook
WhatsApp
SUSPEK kes ragut yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau ditahan polis di Kuching bagi membantu siasatan berhubung beberapa kejadian ragut di sekitar bandar raya ini. Foto PDRM

KUCHING, 24 Oktober: Seorang lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes ragut di sekitar bandar raya ini.

Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 1.29 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata dalam kenyataannya hari ini, polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian ragut di kawasan Demak pada 21 Oktober lalu.

ANTARA barang kes yang dirampas polis berkaitan kejadian ragut yang dilaporkan di kawasan Demak pada 21 Oktober lalu. Foto PDRM

Semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau, manakala saringan awal air kencingnya menunjukkan keputusan positif dadah.

Suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

SEBUAH motosikal yang turut dikaitkan dengan siasatan kes ragut berkenaan. Foto PDRM

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp Muhammad Amirul Azami Ahmad Rasol, menerusi talian 016-8593994 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.

Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Oleh Afiq Sallehi