KUCHING, 24 Oktober: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menggunakan teknologi bebanan pramuatan menggunakan beg air (Water Bag Surcharge) dalam projek Lebuh Raya Sebuyau-Lingga (Pakej B1) bagi meningkatkan kestabilan tanah lembut sebelum kerja pembinaan jalan raya dilaksanakan.
Menurut kenyataan rasmi JKR, teknologi itu merupakan kaedah kejuruteraan yang menggunakan beg bersaiz besar berisi air untuk memberikan tekanan sementara ke atas tanah lembut bagi mempercepatkan proses konsolidasi atau pemendapan tanah.
Berbeza dengan kaedah konvensional yang menggunakan tambakan tanah, pendekatan berkenaan memanfaatkan berat air dalam beg untuk memberikan tekanan kepada permukaan tanah sekali gus membantu meningkatkan kestabilan kawasan pembinaan.
Kaedah itu membolehkan proses konsolidasi tanah dipercepatkan, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu sebelum kerja pembinaan jalan diteruskan.
Selain itu, penggunaan teknologi berkenaan dapat mengurangkan keperluan bahan tambakan tanah tambahan serta menyediakan alternatif kepada kaedah penambahbaikan tanah di kawasan bertanah lembut.
JKR Sarawak menerusi penerapan teknologi kejuruteraan inovatif itu komited menyediakan infrastruktur jalan raya yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan untuk rakyat.
Oleh Afiq Sallehi





